Tak mahir MySejahtera punca warga emas di Kelantan tak hadir janji temu vaksin

Tak mahir MySejahtera punca warga emas di Kelantan tak hadir janji temu vaksin

Pengarah kesihatan negeri berkata, terdapat warga emas yang tiada aplikasi MySejahtera dan ada pula menerima notifikasi lewat, bukannya 14 atau tujuh hari tarikh janji temu.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Husin berkata, majoriti warga emas memberitahu mereka tidak sedar menerima notifikasi tarikh janji temu dan tidak pandai memeriksa makluman itu melalui aplikasi MySejahtera.
PETALING JAYA:
Kebanyakan warga emas di Kelantan tidak menghadiri janji temu vaksinasi dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana tidak mahir menggunakan aplikasi MySejahtera, kata Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Husin.

Beliau mengulas hampir 10,000 individu di Kelantan tidak menghadiri janji temu vaksin selepas mendaftar bagi fasa kedua PICK.

Zaini berkata, majoriti warga emas itu memberitahu mereka tidak sedar menerima notifikasi tarikh janji temu dan tidak pandai memeriksa makluman itu melalui aplikasi berkenaan.

“Ada juga yang tiada MySejahtera, sekali gus tidak menerima pemakluman tarikh janji temu (TCA) suntikan vaksin, malah turut memberi maklum balas notifikasi diterima lewat, bukannya 14 atau tujuh hari sebelum TCA.

“Warga emas ini ramai yang bergantung kepada anak mereka dan apabila lewat terima notifikasi, maka anak mereka sukar mengambil cuti atau pelepasan untuk hantar ibu bapa ke janji temu itu. Ada yang terlupa TCA,” katanya dipetik Bernama di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan individu itu tidak menolak vaksin, tetapi sekadar menunda TCA atas faktor kesihatan atau urusan penting yang tidak dapat dielakkan, bagaimanapun pihaknya memohon mereka memaklumkan perkara itu lebih awal kepada Jabatan Kesihatan Kelantan.

Katanya, jika dimaklumkan lebih awal menerusi hotline MySejahtera atau bilik gerakan pusat pemberian vaksin (PPV), pihak berkuasa boleh menggantikan individu kategori sama (warga emas atau berisiko tinggi) bagi mengelakkan pembaziran dos vaksin.

Tetapi, beliau berkata, ada maklum balas berkaitan ketidakhadiran itu akibat segelintir warga emas belum bersedia divaksin atau tidak diizinkan anak mereka yang terpengaruh dengan berita palsu di media sosial.

Mengenai langkah JKNK menyelesaikan isu ketidakhadiran itu, Zaini berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk menambah beberapa lagi PPV di kawasan tertentu dan memperluaskan program kesedaran vaksin di seluruh Kelantan.

“Setakat ini, 19 PPV sudah kita cadang akan dibuka dari semasa ke semasa dan mungkin kita akan menambah lagi beberapa PPV, sama ada secara bergerak atau statik, perkara itu akan dibincangkan.”

Ditanya jika jangkitan harian Covid-19 di Kelantan akan mencecah empat angka, beliau menjangkakan kes harian akan mencapai 450 hingga 600 kes dalam dua minggu ini.

“Adanya perintah kawalan pergerakan, termasuk beberapa PKP diperketatkan di Kelantan, malah dengan SOP yang diperketatkan bermula hari ini, maka kita tidak jangka ia boleh capai empat angka, tetapi pada tiga angka saja.

“Namun, ia boleh melepasi 600 kes, jika penduduk tidak mempraktikkan SOP.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.