RM1,000 bukan ‘penyelesaian’, kumpulan hak pengguna ingatkan Prasarana

RM1,000 bukan ‘penyelesaian’, kumpulan hak pengguna ingatkan Prasarana

4PAM menggesa penumpang terlibat dalam kemalangan tren LRT malam tadi untuk berunding dengan peguam, sebelum menerima sebarang tawaran Prasarana.

Penasihat undang-undang 4PAM menawarkan perkhidmatan mereka kepada semua penumpang yang terlibat dalam kemalangan pertembungan dua tren LRT malam tadi.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan hak pengguna berkata, Prasarana Malaysia Bhd perlu menyatakan dengan jelas pampasan RM1,000 yang diberikan kepada semua 213 mangsa dalam pertembungan dua tren LRT malam tadi, bukan satu bentuk “penyelesaian”.

Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) berkata, pampasan berkenaan hanya boleh dilihat sebagai bantuan.

“Prasarana harus menjelaskan pampasan ini bukan sebarang bentuk penyelesaian yang akan menimbulkan prejudis bagi penumpang (terlibat) dalam usaha mereka mengambil tindakan undang-undang,” kata Presiden 4PAM, Ajit Johl dalam kenyataan.

“4PAM menggesa penumpang yang terlibat dalam kemalangan berkenaan berunding dengan peguam sebelum menerima sebarang tawaran atau menandatangani dokumen ditawarkan Prasarana.”

Katanya, penasihat undang-undang persatuan itu menawarkan perkhidmatan mereka kepada semua penumpang.

Selain pampasan RM1,000, Pengerusi Prasarana, Tajuddin Abdul Rahman berkata, pengendali pengangkutan awam itu akan menanggung kos perubatan setiap mangsa sehingga selesai rawatan.

Daripada 213 penumpang yang terlibat dalam kemalangan malam tadi, 64 orang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

Daripada jumlah itu, 21 mangsa masih dirawat di HKL, dengan enam dalam keadaan kritikal dan 15 lagi separa kritikal. Baki 43 mangsa menerima rawatan pesakit luar.

Malam tadi, dua tren LRT bertembung dalam terowong bawah tanah di Laluan Kelana Jaya dalam kemalangan yang terburuk seumpamanya sejak LRT mula beroperasi pada 1996.

Kementerian Pengangkutan hari ini berkata, kemalangan itu berpunca daripada kecuaian manusia, dengan pemandu tren LRT tanpa penumpang, yang bertembung dengan sebuah tren membawa 213 penumpang, memandu di arah salah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.