Ini kali pertama jumlah jangkitan harian melepasi 7,000 kes sejak pandemik melanda negara tahun lalu.
Rekod sebelum ini ialah 6,976 kes yang dicatatkan 23 Mei lalu.
Setakat ini, seramai 460,062 daripada 525,889 pesakit Covid-19 sudah pulih, manakala 2,369 orang meninggal dunia akibat virus itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 63,458 kes aktif, dengan 373 daripada 726 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada jumlah kes baharu itu, empat ialah kes import dan baki 7,285 kes penularan tempatan membabitkan 6,813 warganegara dan 472 warga asing.
Katanya, Selangor terus mencatatkan jumlah kes harian tertinggi, dengan 2,642 kes.
Ini disusuli Johor (664), Kuala Lumpur (604), Sarawak (513), Kelantan (425), Negeri Sembilan (410), Pulau Pinang (380), Kedah (336), Terengganu (268), Sabah (266), Melaka (258), Perak (218), Pahang (211), Labuan (63), Putrajaya (23) dan Perlis (8).
Noor Hisham berkata, 60 kematian itu membabitkan 59 warganegara dan seorang warga asing yang berusia 3 hingga 93 tahun.
Kanak-kanak berusia tiga tahun itu menghidap penyakit leukimia, manakala 50 pesakit lain mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, strok dan jantung.
Empat daripadanya hanya dikesan positif Covid-19 selepas mayat mereka dibawa ke hospital.