Mufti Perak di ICU, isteri semakin pulih, kata anak

Mufti Perak di ICU, isteri semakin pulih, kata anak

Anak kepada mufti Perak, Ahmad Wafi Harussani turut menafikan berita yang tular di media sosial mendakwa ibunya, Ainon Ghazali meninggal dunia.


PETALING JAYA: Mufti Perak, Harussani Zakaria kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas disahkan positif Covid-19 pada minggu lalu.

Perkara itu disahkan anaknya, Ahmad Wafi Harussani semalam.

Pada masa sama, Wafi turut menafikan berita yang tular di media sosial mendakwa ibunya, Ainon Ghazali meninggal dunia, malah memberitahu ibunya semakin pulih dan kini berada di rumah.

“Abah memang di ICU dan mak pula semakin pulih dan ada di rumah. Tular pula kata isteri mufti meninggal dunia, itu adalah palsu,” kata beliau menurut laporan Utusan Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim berkata, pihaknya setakat ini hanya dimaklumkan Harussani sedang dirawat di hospital terbabit.

“Kami dimaklumkan bahawa beliau sedang dirawat di HRPB manakala isteri dan anaknya (sebelum ini positif Covid-19) sudah dibenarkan keluar dari hospital.

“Marilah kita semua mendoakan kesembuhan mufti Perak,” katanya.

Minggu lalu, satu mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa Harussani yang dijangkiti Covid-19 sejak 11 Mei lalu memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas, namun dalam keadaan beliau masih sedar.

Berita itu kemudiannya disahkan Zamri sendiri selain meminta agar semua pihak mendoakan kesembuhan Harussani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.