
Prasarana dalam kenyataan awal hari ini, berkata kekerapan tren adalah setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu selainnya, serta pengurangan kapasiti kepada 50% susulan langkah lebih ketat dalam pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.
Katanya, penumpang dijangka perlu menunggu lebih lama sedikit daripada biasa.
“Lima perantara dua tingkat percuma, dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit, turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah, manakala 166 penumpang dilapor mengalami cedera ringan malam tadi dalam perlanggaran dua tren LRT, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya.
Kedua-dua tren dilaporkan bertembung pada kira-kira 8.45 malam di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.
Ketua Polis Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, berkata tren dari Gombak (menghala ke Kelana Jaya) membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya (menghala ke Gombak) tidak membawa penumpang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat.
Semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain.
Sehubungan itu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengarahkan siasatan penuh dilakukan untuk mengenal pasti punca kemalangan membabitkan perlanggaran dua tren LRT berkenaan.
Prasarana turut menjelaskan kakitangan operasi juga akan ditempatkan di setiap platform stesen di antara stesen Pasar Seni sehingga stesen Ampang Park untuk memantau, membantu memudahkan pergerakan penumpang.
Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hari, selepas semua kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selesai.
“Prasarana juga telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kerja-kerja sanitasi di Stesen KLCC serta di kawasan sekitarnya bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Menurut kenyataan itu lagi, Prasarana kesal dengan kejadian yang berlaku dan akan terus memantau perkembangan penumpang yang terbabit dalam kemalangan malam tadi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Pengguna perkhidmatan Rapid KL boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah, menggunakan aplikasi ‘PULSE’ yang boleh dimuat turun melalui melalui ‘Google Play Store’ atau ‘Apple App Store’.