Had tempoh 2 jam di pusat beli belah tak membantu, kata doktor

Had tempoh 2 jam di pusat beli belah tak membantu, kata doktor

Dr Lee Boon Chye berkata kempen kesedaran adalah langkah yang lebih efektif berbanding pelaksanaan sekatan yang tidak masuk akal.

Doktor berkata had dua jam di pusat beli-belah sukar dikuatkuasakan tetapi menyarankan orang ramai memakai pelitup muka berganda untuk mengawal jangkitan.
PETALING JAYA:
Dua orang doktor mengkritik peraturan had tempoh dua jam untuk pelanggan berada di premis runcit dan pusat beli belah.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata pendidikan awam mengenai bahaya Covid-19, adalah jauh lebih baik berbanding pelaksanaan sekatan yang tidak masuk akal bagi mencapai objektif untuk tidak menggalakkan rakyat keluar rumah.

Lee berkata had dua jam dikenakan kepada pelanggan dilihat sukar untuk dilaksanakan apabila hanya terdapat pendaftaran untuk memasuki sesebuah premis, tetapi tiada pendaftaran ketika keluar.

“SOP yang ditetapkan mestilah jelas dan konsisten. Untuk pusat beli-belah yang besar tentu sahaja tidak mudah untuk memantau pergerakan keluar masuk dan membezakan antara pekerja dan pelanggan,” tambah beliau.

Lee berkata waktu perniagaan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam akan memaksa pelanggan untuk membeli barang keperluan mereka selepas waktu bekerja iaitu antara jam 5 petang hingga 8 malam dan akan menyebabkan keadaan menjadi lebih sesak.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow berkata memendekkan tempoh membeli beli-belah tidak akan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Jelas beliau, hanya PKP dan langkah pencegahan yang sewajarnya akan dapat membendung penularan virus.

“Malaysia sedang berdepan dengan angka kes yang cukup tinggi antara 6000 hingga 7000 kes sehari, bersamaan dengan ribuan kes jangkitan baharu setiap hari.

“Bagi setiap kes yang disahkan, sekurang-kurangnya 3 ke 10 adalah kes yang tidak dapat dikesan dalam komuniti,” kata beliau kepada FMT.

Tambah Chow, hanya dengan pengesanan kontak secara menyeluruh mampu memutuskan rantaian jangkitan.

“Semua pengurusan mikro tingkah laku manusia ini tidak efektif buat masa ini,” katanya.

Had baharu untuk tempoh membeli belah itu diumumkan minggu ini. Pelanggan dibenarkan menghabiskan masa sehingga dua jam di semua premis, termasuk pusat beli belah sementara perniagaan hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Ini termasuk restoran, kiosk, warung, kedai serbaneka, kedai dobi, kedai optik, pusat cuci kenderaan dan juga salon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.