
Wan (bukan nama sebenar) antara anggota kecemasan pertama yang tiba di tempat kejadian dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.
Sebanyak 213 penumpang cedera, termasuk 47 yang parah dalam kemalangan seperti itu yang pertama kali berlaku dalam sejarah 23 tahun operasi LRT.
Wan berkata, pihak berkuasa tiba di tempat kejadian kurang 10 minit selepas menerima panggilan kecemasan.
“Kami perlu bertindak pantas untuk menstabilkan mangsa. Ramai yang menangis dan keliru, jadi kami perlu meyakinkan mereka yang semuanya akan baik-baik saja.
“Kami meminta mereka ‘bertenang, anda akan baik-baik saja’, kerana mereka dalam keadaan terkejut dan mengalami trauma,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, mereka mengeluarkan mangsa yang boleh berjalan, manakala penumpang tidak boleh berjalan diletakkan atas pengusung dan dibawa ke ambulans di luar stesen kereta api.
Katanya, ramai yang tidak boleh berjalan sendiri dan memerlukan sokongan, dengan ada yang patah tulang.
Beliau berkata, walaupun ini kali pertama dua tren LRT bertembung seperti itu, tetapi mereka sudah dilatih cara menghadapi keadaan itu.
“Setiap tahun, Jabatan Bomba dan Penyelamat menyertai latihan antara agensi untuk kemalangan membabitkan kereta api, ini termasuk perlanggaran, jadi kami sudah bersiap sedia,” katanya sambil menambah pihak berkuasa berjaya mengeluarkan semua mangsa kurang sejam.
Terdahulu, dua tren LRT yang dipercayai berada dalam terowong bawah tanah di laluan sama, iaitu Laluan Kelana Jaya, bertembung malam tadi.
Polis berkata, siasatan awal mendapati sebuah tren tanpa penumpang yang rosak, dengan masing-masing seorang pemandu dan operator, sedang dipandu uji secara manual, manakala sebuah lagi tren membawa 213 penumpang dipandu secara automatik.
Sementara itu, JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, ia menerima panggilan kecemasan pada 8.37 malam dan tiba tujuh minit kemudian, dengan lima lagi jentera dari balai berdekatan turut dikerahkan ke tempat kejadian, yang keseluruhan operasi itu membabitkan 75 anggota.
Katanya, di awal operasi, penyelarasan antara pengurusan LRT dan Prasarana Malaysia Berhad sangat penting bagi memastikan tiada risiko renjatan elektrik dan gangguan pergerakan tren LRT lain ketika operasi menyelamat dijalankan.
Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa menjadi sukar kerana membabitkan jumlah ramai dan terowong serta laluan kecemasan sempit dengan kelebaran kurang 1m dan sejauh 100 hingga 150m ke platform terminal terdekat.
Semua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan hospital lain berhampiran untuk rawatan segera.
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong, dilaporkan berkata, satu pasukan petugas akan ditubuhkan untuk menyiasat punca kemalangan itu, dengan laporan penuh siasatan dijangka siap dalam dua minggu.