
Neelofa, 32, tiba di IPD Seremban ditemani suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail serta dua peguam 10.10 pagi tadi.
Ketika ditemui pemberita, Neelofa berkata kerjasama penuh diberikan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Mohd Said Ibrahim, berkata sepanjang proses siasatan dijalankan, Neelofa memberikan kerjasama baik selain mematuhi SOP Covid-19 ditetapkan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Said dalam kenyataan pada Jumaat, memaklumkan pihaknya menerima laporan terhadap Neelofa yang tidak mematuhi SOP iaitu pemakaian pelitup muka seperti diwajibkan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada orang ramai, termasuk mereka mengenakan niqab penuh atau separuh.
Ia susulan gambar kehadiran Neelofa ke kompleks mahkamah berkenaan yang tular di media sosial dan media tempatan pada Khamis, mengundang pelbagai respons yang mendakwa dia tidak memakai pelitup muka walaupun mengenakan niqab.
Neelofa dan Haris ke kompleks mahkamah itu bagi menghadapi tuduhan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat di sebuah kedai karpet, di Nilai pada 2 Mei lepas.
Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.