Neelofa lagi! Kali ini nafi langgar SOP naik kenderaan lebih 3 orang

Neelofa lagi! Kali ini nafi langgar SOP naik kenderaan lebih 3 orang

Neelofa memberitahu, peguamnya, Zahiril tidak menaiki kenderaan sama untuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini.

Neelofa nafi peguamnya menaiki kenderaan sama untuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selebriti Noor Neelofa Mohd Nor menafikan tuduhan warganet yang dia melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menaiki kenderaan melebihi tiga orang penumpang.

Menerusi kenyataan di Twitter, Neelofa, 32, memberitahu peguamnya, Zahiril tidak menaiki kenderaan sama untuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

“Saya dan peguam tidak hadir ke IPD Seremban dengan menaiki kenderaan yang sama.

“Polis boleh meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami menurunkan peguam di perkarangan mahkamah atau dari luar balai,” katanya.

Neelofa memaklumkan, pihaknya telah menghubungi IPD Seremban mengenai perkara itu dan mereka sedia maklum.

“Saya, Haris (suaminya) dan pemandu pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan kami manakala Zahiril pula dengan keretanya.

“Diharapkan ini dapat menjelaskan perkara yang berlaku selain mengelakkan salah faham,” katanya.

Penjelasan itu dimuat naik selepas tular satu video yang memperlihatkan Zahiril menaiki kenderaan sama dengannya di depan IPD Seremban hari ini.

Terdahulu, Neelofa selesai memberi keterangan selama sejam di IPD Seremban berhubung dakwaan melanggar SOP tidak memakai pelitup muka ketika hadir di Kompleks Mahkamah Seremban, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Mohd Said Ibrahim, berkata sepanjang proses siasatan dijalankan, Neelofa memberikan kerjasama baik selain mematuhi SOP Covid-19 ditetapkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Said dalam kenyataan pada Jumaat, memaklumkan pihaknya menerima laporan terhadap Neelofa yang tidak mematuhi SOP iaitu pemakaian pelitup muka seperti diwajibkan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada orang ramai, termasuk mereka mengenakan niqab penuh atau separuh.

Ia susulan gambar kehadiran Neelofa ke kompleks mahkamah berkenaan yang tular di media sosial dan media tempatan pada Khamis, mengundang pelbagai respons yang mendakwa dia tidak memakai pelitup muka walaupun mengenakan niqab.

Neelofa dan Haris ke kompleks mahkamah itu bagi menghadapi tuduhan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat di sebuah kedai karpet, di Nilai pada 2 Mei lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.