Teo Nie Ching daripada DAP berkata, walaupun pengumuman Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, yang vaksin Sinovac dan AstraZeneca tidak dinasihatkan diberi kepada golongan itu, borang pendaftaran vaksinasi tidak membuat sebarang perubahan berhubung masalah itu.
Baru-baru ini, Khairy juga berkata, wanita hamil dan ibu menyusu dinasihatkan hanya mengambil vaksin Pfizer, jika mereka mempertimbangkan untuk divaksin.
“Bagaimana algoritma data menentukan wanita hamil atau ibu menyusu akan didaftarkan untuk vaksin Pfizer seperti dalam kenyataan Khairy?
“Dan bagaimana kerajaan akan tahu berapa banyak vaksin Pfizer perlu disimpan dan diperuntukkan untuk kumpulan wanita ini?” soalnya.
Bekas timbalan menteri pendidikan itu berkata, tiada pengumuman lanjut bagaimana Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan menyelaras dengan hospital dan pakar untuk memastikan ibu hamil dan menyusu diberi keutamaan menerima vaksin Pfizer.
“Kami perlu terus bertanya kerana seperti dinyatakan Khairy, vaksin Pfizer hanya sesuai untuk wanita hamil antara 14 dan 33 minggu, atau vaksinasi mereka akan ditangguhkan.”
Ahli Parlimen Kulai itu berkata, kelewatan lanjut akan menyebabkan lebih ramai wanita hamil tidak dapat divaksin sebelum bersalin.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga perlu mengubah borang pendaftaran vaksin AstraZeneca sebelum pendaftaran awam dibuka semula untuk golongan 60 tahun ke bawah supaya ibu mengandung dan menyusu tidak diberikan vaksin itu secara tidak sengaja.
FMT hari ini melaporkan sebuah kempen dilancarkan untuk garis panduan jelas mengenai vaksinasi untuk ibu hamil kerana kes harian Covid-19 melonjak ke tahap tertinggi berbanding sebelum ini.
Liyana Helmy Had, yang mengandung anak keduanya, berkata masih ada kekurangan penjelasan mengenai proses vaksinasi, dengan persoalan mengenai peluangnya mendapat vaksin Pfizer, satu-satunya vaksin yang disyorkan kerajaan untuk ibu hamil dan menyusu.
Beliau melancarkan satu petisyen yang disokong lebih 100 penandatangan untuk garis panduan lebih terperinci.
Terdahulu, Teo dan Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin, hari ini menyuarakan sokongan terhadap petisyen Liyana, dengan menyeru rakyat menyokong kempen itu.