Bekas timbalan menteri sifatkan 3 peraturan PKP ‘bodoh’

Bekas timbalan menteri sifatkan 3 peraturan PKP ‘bodoh’

Ong Kian Ming berkata beberapa garis panduan baharu tidak masuk akal dan menyusahkan rakyat.

Ong Kian Ming berkata, SOP baharu berkaitan restoran, pengangkutan awam dan penjawat awam hanya akan menyusahkan rakyat, bukannya mengekang wabak.
PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan menteri mengkritik tiga dasar ‘bodoh’ di bawah sekatan pergerakan terkini, yang disifatkan bukan sahaja akan gagal membendung penyebaran Covid-19, malah menyusahkan rakyat.

Ong Kian Ming berkata pengetatan perintah kawalan pergerakan ketiga tidak masuk akal bagi dirinya dan rakyat.

Menurutnya, mengehadkan waktu operasi perniagaan, termasuk restoran hingga jam 8 malam akan menyebabkan lebih banyak orang mengerumuni premis seperti itu untuk mengambil makanan mereka pada waktu tertentu.

Ini juga akan membahayakan nyawa penghantar makanan yang akan terburu-buru untuk memenuhi pesanan terakhir mereka

“Mengapa tidak melanjutkan waktu operasi restoran untuk yang membungkus makanan hingga jam 10 malam, jadi tidak perlu terburu-buru sebelum jam 8 malam? Maafkan saya, ini adalah dasar atau SOP yang sangat bodoh,” kata ahli Parlimen DAP itu dalam catatan Facebook.

Kedua, bekas timbalan menteri perdagangan dan industri antarabangsa itu berkata, pengurangan kapasiti pengangkutan awam sebanyak 50% juga akan menyebabkan orang ramai menunggu pengangkutan awam.

Ini akan meningkatkan kebarangkalian virus merebak terutama dalam keadaan jarak sosial tidak diperhatikan.

Ketiga, kata Ong, mengurangkan kapasiti perkhidmatan awam kepada hanya 20% kemungkinan akan meningkatkan antrian dan waktu menunggu bagi mereka yang tiada pilihan selain pergi ke pejabat kerajaan untuk memproses dokumen, membayar yuran dan transaksi lain yang berkaitan dengan kerajaan.

Ini terutama jika mereka tidak mampu melakukannya secara dalam talian, katanya.

“Jangan salahkan orang ramai kerana kecewa sekiranya dasar atau prosedur operasi standard yang diumumkan oleh menteri tertentu dilihat sebagai ‘bodoh’,” katanya.

Ong mengulas kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa beliau tidak keberatan dikecam orang ramai selagi mereka bersedia memainkan peranan mereka untuk menghentikan penyebaran Covid-19.

Muhyiddin berkata, rakyat boleh menyalahkan kerajaan tetapi tanggungjawab untuk mengawal wabak tidak terletak pada kerajaan sahaja.

“Saya tidak pasti sama ada PM cuba mendapatkan simpati orang ramai tetapi saya rasa ini bukan tindak balas wajar memandangkan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia,” kata Ong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.