
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sebarang keputusan untuk melaksanakan sekatan pergerakan atau ‘lockdown’ ditetapkan oleh MKN selepas rundingan melibatkan pelbagai pihak mengikut keperluan menangani situasi pandemik Covid-19.
Justeru, katanya, berlaku perubahan dalam penetapan SOP dari semasa ke semasa adalah tertakluk kepada perubahan situasi jangkitan itu sendiri.
“Ikut keadaan situasi yang memerlukan kita membuat pelarasan untuk menangani situasi yang berbeza-beza. Contoh (sebelum ini) dibenarkan restoran menerima pelanggan masuk makan. Kemudian tidak boleh pula.
“Saya minta maaf kalau ada yang agak keliru. SOP tidak dibuat oleh MKN sewenang-wenang,” katanya dalam program Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 Eksklusif Bersama YAB Perdana Menteri yang disiarkan RTM dan Bernama TV malam ini.
Muhyiddin berkata beliau memahami rungutan rakyat yang melihat seolah-olah SOP berubah-ubah namun ia disebabkan oleh situasi keadaan Covid-19 itu sendiri yang berubah.
Beliau menegaskan pelaksanaan SOP diputuskan dalam mesyuarat yang turut dihadiri Peguam Negara Idrus Harun bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, selepas diwartakan dan dikuatkuasakan, SOP berkenaan diumumkan kepada orang ramai supaya semua pihak mengetahuinya.
”Kalau tidak faham juga boleh tanya dan kita sudah minta menteri-menteri untuk beri penjelasan, pegawai-pegawai beri penjelasan.
“Pemimpin masyarakat yang ada program ‘empowerment’ (pemerkasaan) pun sudah diberi penerangan supaya mereka bantu menjelaskan situasi dan keadaan,” katanya.
Muhyiddin menjelaskan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk meminta mengubah SOP kerana kuasa terletak kepada kerajaan Persekutuan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Kementerian Kesihatan atau Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di bawah Kementerian Sumber Manusia.