Sabah benar operasi perniagaan sehingga 9 malam bermula Selasa

Sabah benar operasi perniagaan sehingga 9 malam bermula Selasa

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun bagaimanapun berkata, restoran termasuk restoran dalam hotel dibenarkan dibuka sehingga jam 10 malam.

Masidi Manjun berkata, 136 kes baharu dicatatkan di Sabah hari ini dengan satu kluster baharu melibatkan kes indeks yang dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis hari jadi. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Operasi perniagaan di Sabah termasuk kedai dan gerai makan serta pusat membeli-belah dibenarkan sehingga jam 9 malam bermula Selasa ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, restoran termasuk restoran dalam hotel bagaimanapun dibenarkan beroperasi hingga jam 10 malam.

Katanya, selain itu perniagaan lain yang dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 9 malam ialah kedai dobi, kedai gunting rambut dan salun, perkhidmatan spa, refleksologi, serta pusat cuci kenderaan.

”Pematuhan SOP (prosedur operasi standard) untuk semua kebenaran yang diberikan adalah dimestikan termasuk kedai dobi layan diri yang perlu memastikan pekerja berada di dalam premis bagi mengawal bilangan pelanggan serta pematuhan SOP.

”Selain itu, bilangan pengunjung di pusat beli-belah, pasar raya besar, supermarket, mini market dan sebagainya juga dihadkan iaitu 50% daripada kapasiti ruang premis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap berkaitan Covid-19 di Sabah berkata, 136 kes baharu dicatatkan di negeri itu, hari ini.

Selain itu, katanya, dua lagi kematian direkodkan iaitu membabitkan pesakit di Putatan dan Lahad Datu.

”Selain itu, terdapat satu kluster baharu direkodkan iaitu kluster Jalan Mangga di Kota Kinabalu yang dikesan pada 18 Mei menerusi saringan bergejala.

”Kes indeks adalah lelaki berusia 69 tahun dari Kionsom Inanam yang mengalami gejala demam sebelum disahkan positif RTK Antigen di klinik swasta,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis hari jadi di Restoran Little Nanyang Bakuteh Kolombong, Jalan Mangga pada 13 Mei.

Susulan kes itu, saringan kontak mendapati 13 lagi kes positif membabitkan ahli keluarga dan generasi kedua, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.