Lelaki ditahan ganggu jemaah masjid, tiada kaitan langgar SOP, kata polis

Lelaki ditahan ganggu jemaah masjid, tiada kaitan langgar SOP, kata polis

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata suspek mengganggu jemaah sedang solat malah turut ditemui pisau 13cm dalam beg sandangnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong menafikan dakwaan di media sosial kononnya lelaki itu ditahan kerana melanggar SOP. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Polis menafikan telah menahan seorang lelaki di sebuah masjid di Gelugor, Pulau Pinang, kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan PKP sebaliknya suspek diambil tindakan kerana mengganggu jemaah di situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata menerusi pemerhatian di media sosial, terdapat maklum balas warganet yang mendakwa lelaki itu ditahan atas kesalahan melanggar SOP di masjid dalam kejadian pada jam 8.25 malam, Jumaat lalu.

“Sebenarnya penyebaran maklumat itu tidak benar kerana lelaki berusia 35 tahun itu ditahan berikutan mengganggu jemaah menunaikan solat, dan pemeriksaan di dalam beg sandangnya menemui pisau berukuran 13cm.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebar dan menularkan kenyataan yang tidak benar mengenai kes ini.

“Lelaki itu kini direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu tular di media sosial lelaki yang memakai baju Melayu hijau itu dilaporkan berlegar di dalam masjid dan telah ditahan kononnya melanggar SOP PKP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.