Kartel daging: 5 dituduh, 2 penguat kuasa MAQIS mengaku salah

Kartel daging: 5 dituduh, 2 penguat kuasa MAQIS mengaku salah

Seorang penguat kuasa MAQIS didenda RM1,500 selepas mengaku salah manakala mahkamah menetapkan sebutan tertuduh lain pada 29 Jun.

Lima tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan rasuah berkaitan kes kartel daging. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Lima termasuk empat pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah berkait kes kartel daging.

Dua penguat kuasa MAQIS Mohammad Sofyan Mohd Zain, 27 dan Khairul Izat Sulaiman, 31, mengaku salah atas tuduhan terhadap mereka, manakala tiga yang lain iaitu pengurus syarikat logistik, Abdul Latif A Rahman, 55, dan dua penolong pegawai penguat kuasa agensi terbabit, Nor Azlan Mat Suki, 40 serta Mohd Hafizan Khalid, 44, mengaku tidak bersalah.

Sofyan dan Khairul mengaku gagal melaporkan menerima rasuah RM30 dan RM100 daripada Abdul Latif sebagai ejen penghantaran QFF Logistic Sdn Bhd bagi mempercepat proses pemeriksaan dokumen dan fizikal konsainan.

Tuduhan itu dilakukan di pejabat MAQIS, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, pada 5 Oktober dan 10 November tahun lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Azlan dan Hafizan masing-masing didakwa atas lima serta satu pertuduhan menerima rasuah bernilai RM37,500 bagi melepaskan 41 kontena yang membawa daging sejuk beku milik Syarikat ZS Armin Sdn Bhd, dari negara tidak diiktiraf Jabatan Veterinar.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di restoran di Iskandar Puteri dan Johor Bahru, di antara Disember 2016 hingga April 2017.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Abdul Latif pula mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu pada 5 Okt 2020 dan 9 Nov 2020 bertujuan mengelirukan pihak berkuasa.

Kesalahan itu dilakukan di Wisma Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Iskandar Puteri masing-masing pada 5 Oktober dan 9 November tahun lalu.

Abdul Latif yang didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM, turut menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 471 bagi dua tuduhan pilihan, mengemukakan dokumen palsu pada tarikh sama. Tuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun serta Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Azlan diwakili peguam bela Peter Tan, Hafizan diwakili Mohd Razak Sharif dan Abdul Latif diwakili S Vijaya. Sofyan pula tidak diwakili peguam.

Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail memerintahkan Azlan dan Hafizan diikat jamin RM7,000, Abdul Latif RM8,000 serta Mohammad Sofyan RM5,000 selain menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen. Mahkamah turut memberi peluang Mohammad Sofyan melantik peguam bela sebelum tarikh itu.

Beliau turut memerintahkan Khairul didenda RM1,500 dan penjara sebulan jika tidak membayar denda itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.