‘Kenapa rampas telefon saya’, soal Syed Saddiq selepas 2 jam beri keterangan pada polis

‘Kenapa rampas telefon saya’, soal Syed Saddiq selepas 2 jam beri keterangan pada polis

Bekas menteri itu berkata tiada keperluan berbuat demikian kerana beliau secara sukarela membenarkan pihak berkuasa mengakses akaunnya berhubung siasatan video dimuat naik di media sosial mengenai kematian A Ganapathy.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi hari ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Telefon bimbit milik Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, disita polis selepas beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hampir dua jam sejak 10 pagi tadi.

Ia sebahagian prosedur bagi membantu siasatan berhubung video yang dimuat naik oleh beliau di media sosial pada 28 April mengenai kematian peniaga susu lembu, A Ganapathy ketika dalam tahanan polis.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, selain merampas telefon bimbitnya, polis, atas arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut mengambil akses ke akaun Instagram dan TikTok miliknya.

“Saya tidak pasti sama ada merampas telefon bimbit dilakukan secara sah atau tidak, saya serahkan perkara itu kepada peguam.

“Kenapa nak rampas telefon saya? Bagi saya ia tidak perlu kerana saya secara sukarela membenarkan mereka mengakses akaun saya,” katanya kepada media selepas memberi keterangan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mendakwa tindakan terhadap beliau itu didalangi oleh SKMM yang bermotifkan politik.

“Saya tak salahkan polis sebab ia (arahan) bukan daripada mereka dan ia datang daripada SKMM. Saya cuma nak memberi peringatan betapa salah guna kuasa berlaku dalam SKMM ketika ini.

“Mereka aktifkan semula unit untuk menuduh bermotifkan politik,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan dipanggil sekali lagi untuk direkod percakapan, jika ada keperluan.

Syed Saddiq berkata, beliau disiasat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan (menakutkan secara jenayah) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Mohd Azman Ahmad Sapri, mengesahkan polis merampas satu unit telefon pintar dan kad sim milik Syed Saddiq.

Beliau memaklumkan kes itu kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ganapathy meninggal dunia di hospital pada 18 April lalu, lebih sebulan selepas dibawa dari IPD Gombak ke Hospital Selayang pada 8 Mac.

Satu lagi kematian dalam tahanan didakwa berlaku di balai polis sama dengan keluarga pengawal keselamatan berusia 42 tahun, Sivabalan Subramaniam, berkata beliau meninggal dunia kurang sejam selepas ditahan.

Kematian itu menyaksikan kemarahan pengguna media sosial menggunakan tanda pagar seperti ‘#JusticeForGanapathy’ dan ‘#BrutalityinMalaysia’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.