
Bercakap kepada FMT sempena Hari Biodiversiti Antarabangsa, iaitu sambutan tahunan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran mengenai isu kepelbagaian biologi, pengerusi Persatuan Pencinta Alam (MNS) Terengganu Wong Chee Ho berkata, beliau tidak meragui Covid -19 adalah penyakit yang datang dari alam semula jadi kepada manusia.
Dalam laporan rasmi mengenai asal usul Covid-19 yang dikeluarkan pada Mac, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan potensi risiko penyakit berjangkit antara hidupan liar dan manusia menunjukkan kemusnahan ekosistem semula jadi juga menghapuskan perlindungan manusia daripada virus bawaan hidupan liar.
Hampir tiga perempat penyakit berjangkit manusia yang muncul adalah virus yang berjangkit selepas penularan spesies daripada hidupan liar atau haiwan peliharaan.
Analisis WHO menunjukkan ia didorong faktor persekitaran dan sosio ekonomi skala besar seperti perubahan tanah, penebangan hutan dan pengembangan pertanian, yang kesemuanya mengancam biodiversiti.
“Ketika kita mengeksploitasi alam secara berlebihan, ia juga memiliki cara untuk ‘membalas’ tindakan kita. Ini adalah kitaran yang tidak disedari oleh banyak orang.
“Kita tidak dapat terus menggunakan tanah atau hutan untuk pertanian mahupun pembangunan kawasan bandar,” kata beliau.
“Sudah ada sejumlah spesies yang berada di ambang kepupusan. Mesej di sini adalah kita semua harus lebih sedar akan perlunya memulihara alam.”
WWF Malaysia juga merujuk masalah sama dalam kenyataan awal minggu ini dengan berkata, kehilangan alam semula jadi mengakibatkan meningkatnya risiko tertedah pada pandemik, melemahkan usaha menangani krisis perubahan iklim dan mengancam kehidupan.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa pemimpin dunia dijadualkan membuat keputusan penting pada akhir tahun ini mengenai perubahan iklim dan persekitaran.
WWF berkata, ini merupakan “peluang penting” untuk mengembalikan kehilangan biodiversiti.
Dalam kenyataan berasingan, pengurus projek hutan dan lautan Greenpeace Asia Timur, Pan Wenjing berkata, para penyelidik semakin bimbang mengenai risiko penyakit berjangkit yang berpunca daripada kehilangan biodiversiti.
Pan berkata, kekayaan biodiversiti melindungi manusia daripada penularan penyakit, contohnya daripada nyamuk kerana ia mengurangkan populasi spesies yang mudah membiak.
Beliau mengambil contoh peningkatan kepelbagaian burung menunjukkan kadar jangkitan virus Nil Barat (WNV) yang berpunca daripada nyamuk, sebagai vektor jangkitan, kurang mendapat perumah yang sesuai.
“Virus ini secara semula jadi diasingkan dari kita oleh ekosistem yang menyediakan zon penghadang. Kita sekarang sedang bergerak memusnahkan penghadang ekologi itu.
“Krisis kesihatan global seperti pandemik Covid-19 akan berlaku lebih kerap jika kita gagal melindungi ekosistem semula jadi di peringkat global,” kata beliau.