Wakil rakyat gesa siasatan awam kematian dalam tahanan terbaharu

Wakil rakyat gesa siasatan awam kematian dalam tahanan terbaharu

Ahli Parlimen Charles Santiago berkata terdapat percanggahan sekitar kematian Sivabalan Subramaniam.

Keluarga Sivabalan Subramaniam mendakwa dia meninggal dunia di Ibu Pejabat Polis daerah Gombak kurang sejam selepas ditahan pada Khamis.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, menggesa siasatan awam terhadap kematian dalam tahanan terbaharu, kerana terdapat percanggahan sekitar kematian pengawal keselamatan berusia 42 tahun itu.

Santiago berkata antara percanggahan itu adalah laporan menyatakan Sivabalan Subramaniam meninggal dunia pada 12.25 tengah hari, polis menghubungi adiknya pada 3 petang untuk memaklumkan abangnya dalam keadaan kritikal di Hospital Selayang.

Beliau berkata perlu ada siasatan dipimpin Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), katanya.

Semua pegawai polis yang terbabit dalam penahanan Sivabalan perlu direhatkan sementara menunggu hasil siasatan, tambahnya.

Katanya dalam kenyataan terdapat banyak kematian dalam tahanan polis, terutama membabitkan etnik India.

Santiago menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak hanya mengutuk insiden terbaharu itu, tetapi juga menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) yang sudah lama dicadangkan.

“Apa-apa selain daripada tindakan ini hanyalah sandiwara,” katanya.

Semalam, keluarga Sivabalan mendakwa dia meninggal dunia di Ibu Pejabat Polis daerah Gombak kurang sejam selepas ditahan pada Khamis.

Polis menahan Sivabalan berhubung kes pemerasan yang berlaku pada 2016.

Kematiannya menyusul kurang sebulan selepas IPD sama terbabit dalam kontroversi kematian peniaga susu lembu, A Ganapathy dalam tahanan polis.

Polis berkata Sivabalan mempunyai sejarah rawatan penyakit jantung dan dilaporkan mengalami sesak nafas. Polis menghubungi Hospital Selayang untuk bantuan kecemasan.

Kematiannya dikelaskan sebagai mati mengejut, sementara menunggu laporan lengkap dari jabatan forensik Hospital Kuala Lumpur.

Kematiannya akan disiasat, kata polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.