‘Tak sangka itu suami saya,’ kata isteri mangsa kereta meletup

‘Tak sangka itu suami saya,’ kata isteri mangsa kereta meletup

Isteri mangsa kereta meletup berkata, anak sulungnya mengenal pasti mangsa terlibat selepas mengecam serpihan kenderaan di tempat kejadian.

Mangsa maut selepas kenderaan yang dinaikinya dipercayai dipanah petir sehingga terputus dua di Simpang Empat Kampung Sireh petang tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
“Tidak sangka itu suami saya, dan masih terkejut dengan apa yang berlaku,” luah isteri kepada mangsa lelaki yang maut dalam kejadian sebuah kenderaan yang meletup sehingga terputus dua di Simpang 4, Kampung Sireh, di sini petang tadi.

Faridah Husin, 49, dilaporkan Bernama berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian melibatkan suaminya Wan Hassan Wan Ali, 49, oleh rakan yang menceritakan mengenai kebakaran 2km dari kediamannya, berhampiran Kampung Sireh.

Namun, Faridah yang bekerja sebagai tukang jahit di Pasar Siti Khadijah berkata, ketika itu beliau masih tidak mengetahui suaminya maut di tempat kejadian akibat kemalangan itu.

“Pada mulanya anak kedua saya, Wan Nor Adawiyah, 21, memberitahu bapa mereka tidak terlibat dalam kejadian itu.

“Namun kali kedua pula saya dikejutkan, apabila anak sulung Wan Nor Hidayah, 22, memberitahu bapa mereka terlibat dalam kemalangan tersebut kerana dia mengecam salah satu serpihan kenderaan yang ada di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Faridah berkata suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak kebelakangan ini, namun arwah sering kali berulang-alik setiap petang dari Kampung Sireh ke Kampung Kota, kerana mereka sekeluarga merancang berpindah rumah tidak lama lagi.

Selain isteri dan dua anak perempuan Wan Hassan turut mempunyai seorang anak lelaki, Wan Mohd Fitri, 19.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Khairul Anwar Mohd Zin, 42, berkata beliau pada mulanya menyangka insiden mengejutkan itu letupan bom.

“Saya terdengar bunyi dentuman yang kuat, malah ada terfikir ia adalah bom, namun sebaik berlari keluar dari restoran kelihatan beberapa kereta ‘berselerakan’, dengan sebuah daripadanya sedang terbakar,” katanya.

Menurutnya, beliau yang berada di dapur restoran miliknya, kira-kira 40m dari tempat kejadian, terus bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku dan terkedu melihat keadaan huru-hara dengan orang ramai berlari menyelamatkan diri.

Beliau turut terdengar suara mangsa lain yang terselamat meminta tolong.

“Ada yang gigih berlari menyelamatkan diri dalam keadaan berdarah. Kami cuba untuk membantu namun keadaan agak teruk, sehinggalah pihak bomba datang dan memberitahu bahawa seorang lelaki maut dengan keadaan jasadnya yang tragis.

“Lebih mengejutkan apabila jasad mangsa, rupa-rupanya tercampak ke dinding restoran saya, berkemungkinan kerana kesan dentuman yang kuat,” katanya.

Mohd Khairul berkata, impak letupan itu turut menyebabkan restorannya mengalami kerugian ribuan ringgit, susulan siling dan cermin pecah.

Selain itu, kedai runcit milik adik lelakinya, juga menerima kesan yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.