
“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya di Facebook pagi ini.
Beliau meminta rakyat untuk melakukan kawalan pergerakan kendiri susulan rekod tertinggi kes harian dan kematian yang dicatatkan sejak kebelakangan ini.
Semalam, beliau mengumumkan sebanyak 6,806 kes baharu dengan 59 kematian direkodkan.
“Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada SOP,” katanya.
Hisham turut meminta majikan untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah dan menghadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa.