Lari dari PKPD untuk beraya, wanita hamil sebar Covid-19 di Kepulauan Tumpat

Lari dari PKPD untuk beraya, wanita hamil sebar Covid-19 di Kepulauan Tumpat

Wanita berusia 30-an itu meninggalkan Bunut Susu untuk meraikan Aidilfitri.

Sebahagian penduduk di sekitar Kepulauan Tumpat hadir untuk menjalani ujian calitan di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru hari ini. Kawasan itu akan dikenakan PKPD mulai esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk Kepulauan Tumpat di Kelantan disebabkan seorang wanita hamil melarikan diri dari sebuah kampung di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) untuk meraikan Hari Raya.

Wanita berusia 30-an itu yang melakukan aktiviti ziarah ketika Aidilfitri, kemudiannya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, 22 kes positif Covid-19 dilaporkan hasil saringan ke atas 80 orang setakat semalam.

Katanya, 11 kes dilaporkan di Teluk Renjuna, Pantai Haji Nik Mat (enam), Pulau Beluru (empat) dan Pulau Suri (satu).

“Kami juga mendapati berlaku peningkatan kes yang ketara dalam tempoh singkat dengan kadar positif direkodkan ialah 27.5%,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.

Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas di Mukim Bunut Susu dikenakan PKPD mulai 9 hingga 22 Mei, susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dengan kadar positif jangkitan yang tinggi.

PKPD di Kepulauan Tumpat yang membabitkan Teluk Renjuna, Pantai Haji Nik Mat, Pulau Beluru dan Pantai Suri pula akan bermula esok hingga 4 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.