
Dalam kenyataan yang diterbitkan di laman web Amnesty International Malaysia, kumpulan NGO itu berkata, tindakan polis mengganggu dan mengancam wartawan serta organisasi media tidak boleh diterima, kerana media menjalankan tanggungjawab untuk melaporkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan umum.
Kata mereka, orang ramai berhak mengulas dan membincangkan isu-isu seperti kematian dalam tahanan polis, termasuk kes membabitkan peniaga susu lembu A Ganapathy yang meninggal dunia setelah dimasukkan ke hospital selama sebulan.
Ganapathy dibawa ke hospital dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di mana dia sebelumnya ditahan.
Kumpulan NGO itu turut menyeru agar pihak berkuasa segera menghentikan siasatan dan gangguan terhadap wartawan serta rangkaian media di negara ini.
Polis harus menghormati, melindungi dan membenarkan hak kebebasan bersuara dan kebebasan media, kata mereka.
“Berbanding menyasarkan wartawan yang melakukan pekerjaan mereka atau mengancam orang awam yang berhak untuk prihatin tentang sebuah lagi kematian dalam tahanan, kami mendesak polis untuk fokus kepada siasatan terhadap kematian Ganapathy dan memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat bersama oleh Amnesty International Malaysia, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Demokrat Kebangsaan, G25, Justice For Sisters, Lawyer Kamek for Change (LK4C), Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), PLUHO (People Like Us Hang Out!), Sisters In Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Jaringan Pembangunan Lestari Malaysia, dan Tenaganita.
Ketua Polis Gombak Arifai Tarawe sebelum ini mengancam untuk menyaman FMT sebanyak RM10 juta jika portal ini tidak meminta maaf dan menarik balik dua artikel yang menurutnya fitnah dan telah mencemarkan imejnya.
Arifai mendakwa artikel berjudul “Under-fire Gombak Police Chief Transferred to Integrity Unit” dan “Ketua Polis Daerah Gombak Ditukarkan ke Unit Integriti Bukit Aman” adalah laporan palsu yang mencemarkan reputasinya serta mempersoalkan integriti beliau.
FMT mempertahankan laporannya dalam artikel berkenaan.
Terdahulu, dua sub-editor Malaysiakini disoal siasat oleh polis berhubung laporan tentang kematian Ganapathy.