
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebaliknya berkata pihaknya hanya mahu membincangkan langkah pencegahan Covid-19, Program Imunisasi Kebangsaan dan perkara berkaitan.
Parlimen digantung sejak 12 Jan susulan pengisytiharan Darurat selama lapan bulan untuk menangani pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, sebulan kemudian Istana berkata Parlimen masih boleh bersidang.
Susulan itu, dalam kenyataan hari ini, Lim menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memanggil sidang Parlimen tergempar, dan melihat kepada cadangan Sultan Johor yang mencadangkan semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta kerajaan negerinya bermesyuarat membincangkan hal berkaitan Covid-19.
“Sultan Johor telah mencadangkan satu mesyuarat bagi semua Ahli Parlimen, ADUN Johor dan kerajaan negeri Johor untuk berjumpa dan membincangkan bersama mengenai langkah pencegahan Covid-19 sebagai alternatif kepada penggantungan sidang Parlimen.
“Pendekatan keseluruhan kerajaan atau keseluruhan rakyat oleh Sultan Johor ini lebih baik daripada kegagalan kerajaan PN sekarang yang asyik tersandung dari satu kesilapan dasar dan pusingan ‘U’ SOP ke yang berikutnya,” katanya.
Menurutnya, kadar jangkitan Covid-19 atau nilai R0 (R naught) berdasarkan kes harian di seluruh negara meningkat hingga 1.1, sementara kadar vaksinasi juga jauh di belakang jadual pada 2.6% penduduk untuk dua dos, bahkan lebih rendah daripada kadar vaksinasi Indonesia iaitu 3.4% untuk dua dos.
Lim berkata, jumlah kematian tertinggi direkodkan iaitu 6,806 kes dan 59 kematian pada 20 Mei adalah petunjuk memalukan terhadap kegagalan kerajaan PN dalam menangani pandemik.
“PN mesti memberikan penjelasan penuh mengapa krisis Covid-19 menjadi semakin buruk walaupun terdapat dana langsung RM60 bilion untuk memerangi Covid-19,” katanya.
Lim berkata, pada 2020 RM38 bilion diperuntukkan untuk dana Covid-19, RM17 bilion pada 2021 dan tambahan RM5 bilion lagi diperuntukkan daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).
Katanya, RM60 bilion bagi dana Covid-19 tidak termasuk RM567 bilion diperuntukkan untuk usaha memulihkan ekonomi, tetapi telah gagal mengeluarkan negara dari kemelesetan ekonomi dengan kadar pertumbuhan negatif selama empat suku tahun berturut-turut.
“Kerajaan perlu menjelaskan bagaimana semua dana ini dibelanjakan ketika rakyat tidak mendapat atau merasakan manfaat daripada RM627 bilion dana kerajaan sejak tahun lalu,” katanya.