
Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka membangkitkan kelewatan kelulusan vaksin Sputnik V dan Cansino oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) walaupun permohonan berkaitannya sudah dibuat beberapa bulan lalu.
“Proses birokrasi yang keterlaluan dan tidak efisien perlulah diatasi dan pada masa yang sama menjaga kebebasan proses kajian untuk memastikan kelulusan yang cepat dan tepat sambil menjaga keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut,” menurut kenyataan itu.
Katanya, Sputnik V dari Russia sudah mendapat kelulusan dari 60 negara dan NPRA harus berusaha mendapatkan data yang diperlukan untuk mempercepatkan proses kelulusan.
“Sekiranya kedua-dua vaksin yang disebut mendapat kelulusan, peningkatan kadar program imunisasi yang dihasilkan akan memainkan peranan mustahak dalam memerangi lonjakan Covid-19 ketika ini,” katanya.
Pada 5 Mei lalu, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, fasa ketiga program berkenaan mungkin ditangguhkan kerana bekalan vaksin tidak mencukupi.
Ketika ini, kerajaan hanya bergantung kepada tiga vaksin – Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac – menyebabkan proses pemberian vaksin kepada orang awam sangat perlahan.
Dalam pada itu, ahli-ahli Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 PH hari ini berkata, kerajaan perlu memperluas pemilihan vaksin yang digunakan, dengan memperoleh vaksin seperti Janssen dan Moderna yang diluluskan WHO.
“Kita juga haruslah berunding dengan syarikat vaksin tahap kajian akhir seperti Sinopharm, Novavax dan lain-lain,” katanya.
“Kerajaan tidak harus berhenti mendapat bekalan vaksin lain kerana syarikat farmasi sudah menetapkan keutamaan mereka kepada negara-negara kaya.
“Impak negatif ke atas ekonomi daripada kadar vaksinasi yang perlahan ini adalah lebih parah berbanding kos perbelanjaan untuk membeli vaksin pada harga lebih tinggi.”
Sebagai usaha mempercepatkan aspirasi negara mencapai imuniti kelompok, PH juga mendesak agar kerajaan negeri dan institusi perubatan swasta dibenarkan untuk memberi vaksin kepada pelanggan berbayar.
“Langkah ini akan menarik kekuatan pasaran untuk mengisi jurang sedia ada dalam industri kesihatan negara, dalam masa sama memberi kelebihan kepada kerajaan pusat untuk menggunakan sumber yang terhad dalam menumpukan usaha untuk memberi vaksin kepada penduduk lain,” kata mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye; Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii; Ahli Parlimen Lumut Hatta Ramli; Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming; Exco Kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud; Exco Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin dan Exco Kesihatan Negeri Sembilan Veerapan Supramaniam.