
“Terima kasih atas undangan semula ini, saya komited hadir untuk ketengahkan pandangan demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya menerusi Twitter malam ini.
Terdahulu, Amirudin berkata, mesyuarat khas MKN di Putrajaya esok tidak melibatkan menteri besar dan ketua menteri seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan.
“Saya telah mengesahkan kehadiran semalam seperti yang diminta, namun petang ini saya dimaklumkan mesyuarat MKN esok tidak akan melibatkan menteri besar dan ketua menteri seperti sebelum ini,” katanya.
Mesyuatat khas MKN Covid-19 yang dijadualkan 3 petang esok itu dijangka membincangkan keputusan sama ada mahu melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara menyeluruh di seluruh negara.
Semalam, Amirudin dilaporkan berkata, Selangor tidak menolak PKP menyeluruh dilaksanakan di negeri itu bagi membendung penularan Covid-19.
Katanya, keputusan akhir pelaksanaan PKP penuh di bawah bidang kuasa MKN yang diketuai perdana menteri dan kerajaan persekutuan.