Lelaki maut ditikam selepas terpijak kepala penjaga ayam

Lelaki maut ditikam selepas terpijak kepala penjaga ayam

Dalam kejadian 11.46 malam tadi, suspek warga Thailand berusia 20-an dikenali sebagai 'Man Siam' melarikan diri selepas menikam mangsa yang berusia 38 tahun.

Polis memburu seorang lelaki Thailand dikenali sebagai ‘Man Siam’ selepas menikam seorang lelaki di Kampung Che Arus, Bukit Merbau, Kok Lanas, Kelantan.
KOTA BHARU:
Berang selepas kepalanya dipijak ketika sedang tidur, seorang penjaga ayam menikam seorang lelaki sehingga mati dalam kejadian di Kampung Che Arus, Bukit Merbau, Kok Lanas.

Dalam kejadian 11.46 malam tadi, suspek warga Thailand berusia 20-an dikenali sebagai “Man Siam” melarikan diri selepas menikam mangsa yang berusia 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Abdul Rahim Daud, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama bapa sepupunya ke rumah seorang ahli keluarga mereka di lokasi kejadian.

Katanya, suspek tinggal di reban ayam belakang rumah kerana bekerja sebagai penjaga ayam ternakan milik ahli keluarga mereka itu sejak awal tahun ini.

“Apabila tiba di rumah ahli keluarga, mangsa yang mengenali suspek pergi ke reban ayam di belakang rumah untuk mencarinya.

“Tidak lama kemudian, suspek datang ke rumah dan memberitahu dua lelaki terbabit bahawa dia sudah menikam mangsa menggunakan pisau atau golok kecil bersarung,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Rahim berkata, mangsa dibawa ke Hospital Machang dan disahkan meninggal dunia.

“Polis giat mengesan ‘Man Siam’ yang melarikan diri dan meminta kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.