
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Dzulkhairi Mukhtar, berkata kejadian kira-kira 9 pagi itu dikesan polis, hasil aduan seorang doktor yang merawat kanak-kanak tersebut selepas ibunya berusia 37 tahun, menghantarnya ke hospital di Iskandar Puteri untuk mendapatkan rawatan.
“Doktor memaklumkan bahawa, kanak-kanak itu mengalami kecederaan seperti tusukan benda tajam di bahagian perut sebelah kiri.
“Hasil temu bual dengan kanak-kanak itu sebelum pembedahan dijalankan, mangsa memaklumkan dicederakan oleh pakciknya sendiri.
“Kanak-kanak itu kini dalam keadaan stabil dan masih berada di wad hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, lelaki terbabit adalah bapa tiri mangsa yang berusia 38 tahun, tidak bekerja dan merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).
Dzulkhairi berkata, motif kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan masalah mental yang dialami lelaki terbabit.
“Lelaki berkenaan mendapat rawatan sakit mental di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejak 2014 dan masih mengambil ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital. Individu itu kemudiannya telah dibawa ke HSA bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga merampas sebilah pisau panjang berukuran lebih kurang 29.5cm beserta hulu pisau yang ditemui di rumah tersebut.
Katanya, individu terbabit dibebaskan selepas ditahan reman selama tiga hari bermula 15 Mei lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.