Siasat kematian Ganapathy, bukannya wartawan, polis diberitahu

Siasat kematian Ganapathy, bukannya wartawan, polis diberitahu

A Ganapathy ditahan polis 24 Feb lalu dan meninggal dunia selepas sebulan dirawat di hospital pada 18 April lalu.

Polis memanggil wartawan Malaysiakini berhubung artikel yang diterbitkan mengenai mangsa meninggal dunia dalam tahanan, A Ganapathy.
PETALING JAYA:
Keputusan polis memanggil dua subeditor Malaysiakini untuk disoal siasat hari ini berhubung tiga artikel yang diterbitkan portal berita itu mengenai kematian kontroversi A Ganapathy dibidas peguamnya dan dua kumpulan hak asasi.

Ganapathy, 40, peniaga susu lembu, ditahan polis 24 Feb lalu dan meninggal dunia selepas sebulan dirawat di hospital pada 18 April lalu.

Keluarganya mendakwa lelaki itu dipukul ketika dalam tahanan dan cedera teruk di kaki, lengan dan bahunya – dakwaan yang dinafikan Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe.

Amnesty International Malaysia berkata, siasatan polis ke atas kematian Ganapathy perlu terbuka dan telus, manakala Artikel 19 menyatakan media tidak patut berdepan penindasan kerana melaporkan kematian Ganapathy.

Sementara itu, peguam K Ganesh terkejut dengan tindakan polis menyiasat wartawan berbanding memfokuskan kematian Ganapathy, serta mempersoalkan kenapa polis mengambil keterangan dua subeditor, bukannya daripada Ganapathy – yang ditahan selama 12 hari.

“Mana logiknya?” soalnya.

“Saya rasa mereka cuba menyekat maklumat. Bukankah polis sepatutnya menyiasat kematiannya? Khasnya apabila individu yang ditahan bersamanya (Sritharan Kukaneson) memberitahu mereka diserang (polis).

“Seorang ibu kehilangan anaknya, anak-anak kehilangan bapa mereka dan adik-beradik kehilangan saudara mereka. Mana lebih penting di sini? Kematian Ganapathy atau imej polis?”

Sebelum ini, FMT melaporkan Sritharan, yang ditahan bersama Ganapathy pada 24 Feb lalu untuk membantu siasatan membabitkan saudara Ganapathy, memberitahu peguamnya, mereka dipukul di tempat letak kereta Balai Polis Batu Caves selepas ditahan.

Sritharan, yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA), masih dalam tahanan.

Malaysiakini pada Selasa melaporkan dua subeditornya disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

“Melaporkan kes itu, bercakap mengenai kes itu, menuntut siasatan telus, meminta #JusticeForGanapathy bukan mengganggu ‘ketenteraman awam’,” tulis Amnesty International Malaysia di Twitter.

“Kekerasan + ketidakadilan adalah gangguan keamanan.”

Amnesty International Malaysia menekankan media perlu dibenar melaporkan kes itu demi kepentingan awam dan keluarga Ganapathy berhak mengetahui apa yang berlaku kepadanya.

“Tetapi, jika polis ialah pelaku disyaki, siapa yang akan menyiasat polis?” soal Amnesty.

Sementara itu, Artikel 19 menggesa pihak berkuasa mengiktiraf kebimbangan orang ramai dengan membenarkan wartawan menjalankan tugas mereka dengan selamat.

“Media sangat penting dalam kes didakwa membabitkan kekerasan polis dan kematian dalam tahanan akibat kurang mekanisme pengawasan bebas di Malaysia,” tulis kumpulan hak asasi itu di Twitter.

“Menyekat media (mewujudkan) jurang besar antara pihak berkuasa dan orang awam, menghalang kebebasan bersuara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.