Saya marah diperdaya surat sokongan kontrak kerja, kata Najib

Saya marah diperdaya surat sokongan kontrak kerja, kata Najib

Bekas perdana menteri itu berkata, kandungan surat yang disampaikan kepadanya bertentangan hasrat sebenar UMS.

Najib Razak memberi keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan rasuah bekas menteri Sabah, Peter Anthony. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri, Najib Razak memberitahu Mahkamah Sesyen, beliau marah kerana diperdaya berkaitan surat sokongan supaya kontrak kerja operasi dan penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memerlukan kelulusannya diberi kepada syarikat milik Peter Anthony.

Beliau, yang pertama kali memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan, berkata Zaki Azmi yang ketika itu Pengerusi Lembaga Pengarah UMS memaklumkan beliau, UMS tidak pernah mengeluarkan surat atau memberi sebarang sokongan serta persetujuan untuk menganugerahkan kontrak kerja itu kepada Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd semasa perjumpaan di Parlimen.

“Saya berasa marah pada masa itu kerana merasakan diri saya diperdayakan kerana kandungan surat yang disampaikan kepada saya bertentangan hasrat sebenar pihak universiti,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada hari kelapan perbicaraan kes Peter yang berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem M&E.

Najib, 67, yang ketika itu merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata surat bertarikh 9 Jun 2014 diterima daripada UMS.

“Surat itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS ketika itu, Shariff Abd Kadir Shariff Omang bagi pihak Naib Canselor berhubung kerja operasi dan penyelenggaraan sistem M&E di bangunan fasa 2B, bangunan dan infra di kampus induk (FPL/pusat rawatan warga luar Sikuati, Kudat) dan bangunan lain Universiti Malaysia Sabah – selama lima tahun.”

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata, surat tersebut turut menyatakan pihak universiti tidak mempunyai halangan menyokong penuh kerjasama ULink Property Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UMS, dan Asli Jati bagi melaksanakan kerja kontrak berkenaan.

“Pihak universiti turut memohon kepada saya agar dapat memberi kelulusan terhadap perkongsian pintar ini,” katanya.

Najib berkata, beliau juga dimaklumkan oleh Zaki yang pihak UMS sebenarnya sudah melantik REMT Utama Sdn Bhd untuk kerja operasi dan penyelenggaraan sistem M&E di universiti itu secara tender terbuka yang dipersetujui ahli Lembaga Pengarah universiti.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada beliau curiga apabila melihat tandatangan Timbalan Naib Canselor (Shariff) dalam surat sokongan tersebut, saksi itu berkata: “Tidak sama sekali.”

Bagaimanapun, Najib berkata, sekiranya beliau mengetahui surat sokongan itu tidak mendapat kebenaran Naib Canselor UMS ketika itu, Mohd Harun Abdullah, beliau tidak akan “melayan” surat tersebut kerana ia bukan kebenaran rasmi daripada UMS.

Wan Shaharudin turut menyoal sama ada Najib selaku Menteri Kewangan ketika itu, cuai kerana memberi kelulusan berhubung kontrak kerja kepada Peter dan beliau menjawab: “Tidak, saya terima permohonan itu dengan niat baik.”

Wan Shaharuddin: Di dalam kes ini, adakah Najib ada membetulkan kesilapan (berhubung kelulusan surat sokongan)?

Najib: Ya, saya ada betulkan sebab itu saya membatalkan keputusan asal (meluluskan projek) dan menyokong keputusan ahli Lembaga Pengarah UMS.

Wan Shaharudin: Jika tidak terima info atau nasihat daripada Tun Zaki, adakah Najib akan buat pembetulan?

Najib: Jika saya tidak terima nasihat atau maklumat daripada Tun Zaki, saya tidak ada maklumat bahawa penipuan telah berlaku.

Wan Shaharuddin: Apa yang membuatkan Najib datang ke mahkamah hari ini dan memberi keterangan?

Najib: Saya tidak suka apa-apa perkara dibuat oleh mana-mana pihak dalam bentuk penipuan. Ini kerana saya nak menjaga reputasi saya dan kerajaan serta dalam kes ini, pihak UMS.

Sementara itu, bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Mohd Irwan Serigar Abdullah, 64, yang juga saksi pendakwaan ke-13 berkata, beliau tidak terlibat dalam mana-mana proses penilaian, sokongan mahupun kelulusan bagi projek tersebut.

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 26 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.