Rosmah buat laporan polis berhubung afidavit Tommy Thomas

Rosmah buat laporan polis berhubung afidavit Tommy Thomas

Rosmah Mansor mahu bekas peguam negara Tommy Thomas disiasat.

Laporan polis dibuat di balai polis Dang Wangi malam ini berhubung dua afidavit.
PETALING JAYA:
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor membuat laporan polis terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas.

Laporan polis itu dibuat pembantu kepada Rosmah di balai polis Dang Wangi malam ini berhubung dua afidavit Thomas bertarikh 11 Mei yang berkaitan dengan usaha Rosmah membatalkan perbicaraan rasuah berkaitan projek solar terhadapnya.

Memetik Malaysiakini, Rosmah dikatakan mahu polis menyiasat Thomas atas dakwaan “berbohong” dalam dua afidavit tersebut, termasuk mengenai pelantikan bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya (TPR).

Difahamkan, afidavit Thomas itu sebagai respons terhadap permohonan Rosmah yang ingin membatalkan keseluruhan perbicaraannya, dalam usaha membebaskan dirinya daripada tiga tuduhan tersebut, selain menyingkirkan Sri Ram sebagai pendakwa utama.

Peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader dipetik mengesahkan bahawa laporan itu telah dibuat atas nama anak guamnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.