Pemimpin PH hantar ‘memorandum bantahan’ mengenai konflik Asia Barat ke Kedutaan AS

Pemimpin PH hantar ‘memorandum bantahan’ mengenai konflik Asia Barat ke Kedutaan AS

Memorandum itu menuntut supaya kedutaan meminta Israel menghentikan pencerobohan dan serangan terhadap penduduk Palestin di Jerusalem, Gaza, Tebing Barat dan wilayah lain kerana melanggar hak asasi manusia.

Memorandum itu menuntut supaya kedutaan AS mengutuk dan mendesak serangan Israel terhadap penduduk Palestin di Jerusalem, Gaza, Tebing Barat serta wilayah lain yang diduduki dihentikan (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Satu memorandum ditandatangani Ahli Parlimen pembangkang meminta supaya ketegangan konflik Israel-Palestin dapat diredakan akan dihantar ke Kedutaan Amerika Syarikat, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Bercakap pada persidangan maya hari ini, Ahli Parlimen PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata Ahli Parlimen pembangkang merancang untuk menyerahkan memorandum itu semalam melalui platform maya tetapi ia ditolak oleh pejabat kedutaan.

Beliau berkata, pejabat kedutaan lebih suka jika memorandum itu dapat diserahkan secara fizikal terus ke pejabat mereka.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat melakukannya kerana perintah kawalan pergerakan. Oleh itu, persidangan dalam talian ini merupakan simbolik penyerahan memorandum kepada mereka,” kata Syed Ibrahim.

Antara lain, memorandum itu menuntut supaya kedutaan mengutuk dan meminta Israel menghentikan pencerobohan dan serangan yang tidak diprovokasi terhadap penduduk Palestin di Jerusalem, Gaza, Tebing Barat dan wilayah lain kerana melanggar hak asasi manusia dan resolusi antarabangsa, khususnya, Resolusi Majlis Keselamatan PBB 476 ,478 dan 2334.

Syed Ibrahim berkata, memorandum itu turut mendesak masyarakat antarabangsa, terutama PBB dan agensinya, bertindak dalam batas kemampuan mereka untuk mencegah dan menghukum “apartheid Israel”.

“Tindakan Amerika Syarikat dan restu Washington atas jenayah dilakukan Israel terhadap hak sah rakyat Palestin mesti dikutuk dan dinilai semula sejajar dengan undang-undang di Kongres AS yang bertujuan untuk mengakhiri pembabitan AS atas pencabulan hak asasi manusia Israel.

“Tidak dapat dinafikan lagi bahawa bantuan AS telah lama digunakan oleh pasukan keselamatan Israel untuk melanggar hak asasi anak-anak Palestin, merobohkan rumah keluarga Palestin, atau untuk merampas tanah Palestin secara kekal,” katanya.

Memorandum turut mendesak kerajaan Malaysia melaksanakan langkah tegas bagi mengatasi masalah berkenaan.

Syed Ibrahim berkata, kerajaan juga harus mengutuk keras pelanggaran Israel dan penindasan hak Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri dengan mendesak organisasi seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan PBB mengambil tindakan lebih bermakna bagi melindungi rakyat Palestin.

Memorandum itu juga mendesak Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sesi Parlimen Khas Darurat bagi membincangkan perkara itu.

Persidangan maya itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.