Konstabel didakwa bunuh rakan sekerja baharu

Konstabel didakwa bunuh rakan sekerja baharu

Muhamad Nur Alif Mazlan didakwa membunuh Konstabel Norhalim Tumiran di sebuah rumah di Sibu pada 6 Mei lalu.

Muhamad Nur Alif Mazlan dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu hari ini untuk menghadapi pertuduhan membunuh Konstabel Norhalim Tumiran awal bulan ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang konstabel polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu di Sarawak hari ini atas pertuduhan membunuh seorang rakan sekerjanya awal bulan ini.

Muhamad Nur Alif Mazlan, 28, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Konstabel Norhalim Tumiran, 24, di sebuah rumah bernombor 8A, Lorong Permai Timur 9, Sibu antara 5.45 hingga 6.30 petang 6 Mei lalu.

Bernama melaporkan tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hazwani Hanim Ramli, yang menetapkan kes itu disebut semula 6 Julai ini.

Dua lagi konstabel berusia 21 dan 23 tahun, yang turut ditahan dan disiasat di bawah akta sama, dibebaskan mahkamah dan akan menjadi saksi pendakwaan untuk kes itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Zulfadhli Tuah dan Rex Yi Min, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh dan dua rakan sekerjanya yang berpakaian lokap berwarna oren dibawa ke mahkamah oleh sekumpulan anggota polis, termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Collin Babat.

Dalam kejadian 6 Mei lalu, Norhalim ditemui terduduk di sofa rumah itu dengan kecederaan tembakan di kepalanya.

Mangsa, yang mempunyai isteri dan seorang anak, baru berpindah ke rumah transit di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, selepas menamatkan latihan asas anggota polis.

Beliau dikatakan ke rumah yang disewa tertuduh dan dua lagi konstabel polis itu untuk bermain permainan komputer sementara menunggu waktu berbuka puasa, sebelum kejadian berlaku.

Ketiga-tiga konstabel itu, semuanya berasal dari Semenanjung Malaysia kemudiannya direman seminggu bagi membantu siasatan.

Jenazah mangsa dibawa pulang ke kampungnya di Felda Bukit Damar, Lanchang di Temerloh, Pahang untuk dikebumikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.