
Ketua Polis Daerah Beaufort, Yusoff Zaki Mat Yaacob, berkata siasatan awal mendapati, kejadian kira-kira 12 tengah hari itu berlaku selepas suspek berusia 43 tahun marah kepada isteri yang mahu pulang ke kampungnya di Keningau bersama anak-anak.
“Suspek yang berang kemudian memberi anaknya minum kopi yang sudah dicampur dengan racun rumput.
“Perkara itu hanya diketahui ibu mangsa selepas diceritakan oleh anak sulungnya yang berusia lapan tahun,” katanya ketika dihubungi.
Yusoff berkata, tidak cukup dengan itu, suspek turut dilaporkan membawa anak perempuannya ke tingkat atas rumah sebelum mencekik mangsa.
Katanya, mangsa sudah dirujuk ke Hospital Kuala Penyu dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil tanpa sebarang alahan berikutan kandungan racun adalah sedikit.
Sementara itu, Yusoff berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Penderaan Kanak-kanak),” katanya.