Segera heret dalang himpunan ‘kerajaan gagal’ ke mahkamah, kata PN Johor

Segera heret dalang himpunan ‘kerajaan gagal’ ke mahkamah, kata PN Johor

Setiausahanya, Dr Sahruddin Jamal berkata, PN Johor akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan tindakan lanjut.

PN Johor berharap dalang yang merancang himpunan ‘kerajaan gagal’ di Batu Pahat baru-baru ini segera dibawa ke muka pengadilan.
JOHOR BAHRU:
Perikatan Nasional (PN) Johor berharap jika benar wujud dalang yang merancang himpunan ‘kerajaan gagal’ di Batu Pahat baru-baru ini, polis dapat segera membawa mereka ke muka pengadilan, kata Setiausahanya, Dr Sahruddin Jamal.

Bekas menteri besar itu berkata, PN Johor akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan tindakan lanjut dan berharap siasatan terperinci dapat dilakukan bagi mengenal pasti individu yang menjadi dalang himpunan berkenaan.

“Tindakan polis menahan 20 individu terbabit sebelum ini bertujuan mengambil keterangan dan membantu siasatan. Berilah ruang sepenuhnya kepada pihak polis menyiasat,” kata beliau dalam kenyataan.

Katanya, beliau berasa kesal kerana insiden itu tidak sepatutnya terjadi ketika umat Islam menyambut Aidilfitri, ditambah negara baru sahaja menyambut Hari Belia Negara 2021.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan dan sumbangan belia dalam segala aspek termasuk ekonomi, pendidikan, sosial dan politik.

“Kerajaan sama sekali tidak pernah menghalang atau menyekat kebebasan bersuara rakyat termasuk anak muda tetapi tidak perlu menimbulkan provokasi melampau dan mengganggu ketenteraman awam.

“Manfaatkan kebijakan yang dimiliki untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam merencanakan pelbagai perancangan dan tindakan yang dapat menyelesaikan isu melibatkan masyarakat di lapangan,” kata beliau.

Sahruddin berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sentiasa komited bagi memastikan setiap agenda dan dasar memberi penumpuan terhadap pemulihan ekonomi negara dan kemaslahatan rakyat.

Khamis lalu, klip video dan gambar himpunan membabitkan pembakaran suar dan kain rentang ‘kerajaan gagal’ di Parit Raja, Batu Pahat, tular di media sosial.

Setakat ini, 20 penduduk tempatan berusia 16 hingga 28 tahun ditahan polis.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 144, 269 dan 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.