PKPD Kota Setar: Tiada perkhidmatan feri penumpang di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah

PKPD Kota Setar: Tiada perkhidmatan feri penumpang di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah

Bagaimanapun, perkhidmatan kargo antara Kuala Kedah-Pulau Langkawi masih diteruskan.

Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah bawah seliaan JLM dan PKPD di daerah Kota Setar menyebabkan semua jenis pergerakan keluar dan masuk ke lokasi terbabit dilarang sama sekali. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengumumkan penutupan Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kota Setar, Kedah, berkuatkuasa esok hingga 1 Mei.

Dalam kenyataan, agensi itu berkata tiada perkhidmatan feri penumpang dari/ke Kuala Kedah dan Langkawi dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, perkhidmatan kargo antara Kuala Kedah-Pulau Langkawi masih diteruskan.

“Perkhidmatan Perlu Mod Pengangkutan Laut masih mempunyai alternatif menggunakan feri roro di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis yang tidak termasuk sebagai lokaliti PKPD,” menurut kenyataan itu.

Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah bawah seliaan JLM dan PKPD di daerah Kota Setar menyebabkan semua jenis pergerakan keluar dan masuk ke lokasi terbabit dilarang sama sekali.

Semalam, kerajaan mengumumkan 28 mukim di Kota Setar dikenakan PKPD selama dua minggu susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.

Mengulas lanjut, JLM komited mendukung hasrat kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam negara.

“Pematuhan SOP Covid-19 yang berkuatkuasa dan kerjasama antara JLM dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan polis sentiasa dikemaskini dalam memastikan pematuhan SOP sepanjang perjalanan dan keselamatan penumpang sentiasa terkawal dan terjaga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.