Pemilik diarah kosongkan tangki septik secara berkala

Pemilik diarah kosongkan tangki septik secara berkala

Kementerian Alam Sekitar dan Air akan mengeluarkan notis pemberitahuan secara berperingkat mulai 1 Jun.

Tindakan tidak menyelenggara dan mengosongkan tangki septik secara berkala menyebabkan berlakunya pencemaran ke atas sumber air. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengarahkan semua pemilik, penghuni serta badan pengurusan premis yang bersambung dengan tangki septik, atau premis mempunyai tangki septik supaya melakukan nyahenap cemar secara berjadual.

Menerusi kenyataan, KASA berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pemilik premis secara berperingkat mulai 1 Jun.

Katanya, langkah itu selaras dengan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 yang dikuatkuasakan pada 30 Mac lalu, bertujuan mengurangkan risiko pencemaran sumber air.

“Tangki septik dalam kawasan pengoperasian pihak berkuasa tempatan (PBT) dan nyahenap cemar dijadualkan setiap dua tahun sekali.

“Selain, itu tangki septik yang terletak di luar sempadan mana-mana PBT serta nyahenap cemar dijadualkan setiap tiga tahun sekali.

“Kerja nyahenap cemar secara berjadual ini akan dilakukan oleh lndah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd,” katanya.

KASA berkata, pemilik tangki septik juga boleh mendapatkan perkhidmatan nyahenap cemar daripada IWK di luar penjadualan, sekiranya tangki septik memerlukan pengosongan yang lebih cepat dari tarikh penjadualan asal.

Sehingga kini, dianggarkan terdapat 1.3 juta premis di Malaysia yang masih menggunakan tangki septik, menurut KASA.

“Daripada jumlah itu, 90% pemilik premis ini tidak menyelenggara dan mengosongkan tangki septik secara berkala. Tindakan ini menyebabkan berlakunya pencemaran ke atas sumber air.

“Penyelenggaraan atau nyahenap cemar secara berjadual amat penting bagi melindungi masyarakat daripada terdedah kepada penyakit bawaan air seperti taun, hepatitis dan sebagainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.