
“Saya duduk bersebelahan ustaz dan mula mengaji. Ketika mengaji, dia letak tangannya di paha saya dan gosok. Saya berhenti menghadiri kelas agama selepas itu.”
Seorang lagi pelajar menceritakan pengalaman di sekolah menengah ketika guru mata pelajaran Kemahiran Hidup mencabul, meraba dan menyentuh pelajar dengan kerap. Mangsa berkata, perbuatan itu berterusan selama bertahun-tahun, menyebabkan ramai pelajar trauma.
Kisah-kisah itu antara pengalaman gangguan seksual dan trauma dilalui pelajar, yang dihimpunkan dan dibacakan dalam siaran langsung Facebook untuk menekankan keseriusan masalah itu.
Lelaki, wanita, bahkan transgender berkongsi pengalaman mereka, dengan ada yang mengalami keruntuhan mental selama bertahun-tahun akibat gangguan seksual dialami.
Insiden itu dikumpul daripada sebuah laman Instagram #MakeSchoolASaferPlace yang menerima lebih 800 e-mel daripada mangsa.
Aktivis sosial, Marina Mahathir berkata, orang ramai perlu mempercayai aduan-aduan ini.
“Jangan kata mereka bohong kerana sukar untuk sesiapa bercakap mengenai gangguan.
“Jika tidak menghentikan gangguan seksual, ia akan berterusan di tempat kerja kerana apa yang dipelajari di sekolah berlarutan,” katanya ketika siaran langsung Facebook.
Beliau berkata, insiden gangguan seksual menunjukkan ketidaksamaan antara orang muda dan tua, individu berkuasa dan tanpa kuasa.
“Kita perlu tangani ini sejak awal lagi,” katanya sambil menambah kerajaan, masyarakat perlu mengambil serius masalah itu.
Katanya, jika tidak golongan dewasa gagal sebagai pembuat dasar dan manusia.
Sementara itu, seorang lagi mangsa berkata ketika berusia 14 tahun rakan sekelas asyik menyentuh payudara manakala pelajar lain mengganggunya untuk seks.
Menurut e-mel mangsa, beliau masih muda ketika itu dan percaya semua adalah salahnya.
Satu kisah lain dikongsikan pelajar berusia 12 tahun mengenai guru berusia 20-an yang sering ‘mengurat’ dengan memuji kecantikannya dan cuba menyentuhnya.
“Saya bencinya kerana ia berlaku di sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat.”
Pelajar lain berkata, ustaz mereka membuat lawak rogol dan seks, manakala pelajar lelaki akan memberitahu pelajar perempuan mengenai saiz payudara mereka atau menyentuh kemaluan pelajar lelaki lain.
“Ada pelajar lelaki yang mahu memberi saya RM1 untuk seks,” kata seorang pelajar perempuan sambil menambah mereka menulis nama dan nombor telefonnya di terowong bawah tanah untuk perkhidmatan seks dengan bayaran RM1.
Sementara itu, panelis, Nur Farah Diana menggesa kerajaan membuat SOP ketat mengenai sikap yang sepatutnya dimiliki guru terhadap pelajar.
Dr Munirah Ibrahim pula memberi amaran pelaku mungkin terbabit dalam keganasan rumah tangga, jika masalah itu tidak ditangani.
“Mari memperkasakan gadis dan lelaki untuk bersuara. Ini ialah isu negara. Mari mulakan dengan sekolah kita, polis, ahli politik dan kerajaan.
“Ia perlu ditangani tanpa sebarang toleransi.”
April lalu, pelajar sekolah menengah, Ain Husniza Saiful Nizam membuat video ringkas di TikTok dan memuat naik ke Twitter berhubung lawak rogol dibuat gurunya.
Dalam siaran langsung Facebook, Ain meminta mangsa bercakap mengenainya, walaupun sudah sekian lama gangguan seksual itu berlaku.
“Anda dibenarkan menjaga diri dan melepaskan kesakitan yang anda tanggung. Penyembuhan anda penting.”