
Kata mereka, tidak adil untuk menyalahkan mereka susulan dakwaan bahawa ada individu yang mengadakan perjumpaan ahli keluarga di pusat beli-belah, setelah rumah terbuka dan aktiviti ziarah antara saudara mara dan rakan-rakan dilarang semasa sambutan Aidilfitri.
Dalam sidang media semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menyatakan bahawa terdapat individu yang berkumpul di pusat beli-belah untuk mengelak melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP) terbaru.
Kata beliau, perbuatan ini berpotensi mencetuskan krisis lagi jika berlaku penyebaran virus di pusat beli-belah.
Dalam kenyataan bersama, empat persatuan peniaga runcit berkata, susulan pengenalan sistem “Hotspot Identification for Dynamic Engagement” (HIDE), pusat beli-belah merombak proses bagi memastikan hanya pengunjung yang disenaraikan sebagai berisiko rendah melalui MySejahtera dibenarkan masuk ke dalam premis.
“Namun, apa yang (pengunjung) buat ketika di dalam premis adalah di luar kawalan kami,” kata mereka.
Kata mereka, tiada cara bagi mereka memastikan pengunjung yang dibenarkan masuk adalah sebahagian daripada kumpulan keluarga yang hendak berkumpul.
“Tiada cara untuk kami menghalang sesiapa pun daripada memasuki pusat beli-belah untuk membeli barang keperluan, membawa pulang makanan, mahupun berkumpul beramai-ramai.
“Ia terletak pada orang ramai untuk mengelak daripada berkumpul, bukan terletak pada pusat beli belah atau polis untuk menghalangnya. Kami tiada hak,” kata mereka.
Mereka juga menggesa pengunjung agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan supaya pusat beli-belah tidak dipersalahkan dan dihukum secara tidak adil.
“Kami merasa benar-benar terkilan dengan cara HIDE digunakan untuk meletakkan stigma ke atas pusat beli-belah, terutamanya apabila pusat beli-belah telah segera mengatur semula proses di pintu masuk dengan teliti,” kata mereka.
“Kami kini memastikan sistem MySejahtera merekod maklumat secara tepat supaya data yang dikumpul, apabila digunakan oleh sistem HIDE, tidak diputar belit.
“Kami percaya Menteri Kesihatan mungkin telah tersalah maklum tentang situasi sebenar.”
Menurut persatuan-persatuan tersebut, oleh kerana makan di premis dilarang di seluruh negara, sebarang data HIDE yang menunjukkan keluarga berkumpul kebanyakannya merujuk kepada aktiviti membeli barang keperluan atau membawa pulang makanan.
Kenyataan ini dikeluarkan bersama oleh Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia, Persatuan Peruncit Malaysia, Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia, dan Persatuan Peruncit Bumiputra Malaysia.