
Beliau berkata, tujuh daripada 20 individu yang ditahan sebelum ini disambung reman tiga hari selepas tempoh tahanan reman dibenarkan sebelum ini tamat semalam.
Katanya, tujuh individu baharu yang ditahan itu kini direman tiga hari bagi membantu siasatan.
Ayob turut menegaskan sejauh mana wujud dalang dalam penganjuran himpunan itu masih dalam siasatan.
“Mengenai dalang, masih dalam siasatan, tetapi semua yang (baharu) ditahan ini mempunyai peranan (ketika himpunan) pada malam itu.
“Sejauh mana ada dalang atau individu terbabit (biaya), siasatan masih dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah, berkata semua tujuh yang ditahan semalam berusia antara 19 hingga 23 tahun.
Khamis lalu, klip video dan gambar himpunan membabitkan pembakaran suar dan kain rentang “kerajaan gagal” di Parit Raja, Batu Pahat, tular di media sosial.
Seramai 20 penduduk tempatan berusia 16 hingga 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung himpunan itu.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 144, 269 dan 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.