Amal PKP kendiri, elak dijangkiti varian baharu, kata KP Kesihatan

Amal PKP kendiri, elak dijangkiti varian baharu, kata KP Kesihatan

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala awal Covid-19, namun varian baharu yang membimbangkan itu cepat merebak terus ke paru-paru.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, gelombang Covid-19 kali ini lebih bahaya berbanding gelombang sebelumnya.
KUALA LUMPUR:
Kemunculan varian baharu yang membimbangkan (VOC) amat merisaukan kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala, malah ujian saringan Covid-19 juga sering mencatatkan keputusan negatif sekalipun ada pesakit sudah berada pada tahap kritikal, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, varian itu juga merebak dengan lebih cepat dan dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi.

Katanya, kebanyakan pesakit yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala seperti batuk atau demam tetapi hanya sakit sendi, berasa lemah badan, kelesuan dan hilang selera makan.

“Ada sebahagian daripada pesakit ini tidak menunjukkan gejala awal Covid-19 yang biasa seperti kehilangan deria bau atau rasa. Namun, varian baharu ini cepat merebak terus ke paru-paru.

“Sebilangan besar pesakit juga tidak menunjukkan gejala demam walaupun terdapat tanda-tanda radang paru-paru yang dikesan melalui imbasan X-ray,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini dilaporkan terdapat tiga varian VOC di negara ini iaitu varian Afrika Selatan (B.1.351), varian United Kingdom (B.117) dan varian India (B.1.617.1).

Sehubungan itu, Noor Hisham meminta orang ramai sentiasa berhati-hati dan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) kendiri bagi mengelak dijangkiti wabak berkenaan.

Ini kerana katanya, gelombang Covid-19 kali ini lebih bahaya berbanding gelombang sebelumnya.

“Jangan kita lalai dan kita mesti sentiasa berwaspada. Duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting. Kita perlu amalan PKP kendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.