Ini adalah rekod tertinggi ketiga yang dilaporkan dalam tempoh empat hari. Rekod tertinggi sebelum ini ialah 45 kematian semalam dan 44 kematian pada Sabtu lalu.
Setakat ini, seramai 432,600 daripada 479,421 pesakit Covid-19 sudah sembuh, manakala 1,994 orang meninggal dunia akibat jangkitan itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 44,827 kes aktif, dengan 277 daripada 531 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada jumlah kes baharu itu, lima ialah kes import dan baki 4,860 kes penularan tempatan membabitkan 4,650 warganegara dan 210 warga asing.
Katanya, Selangor mencatatkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,743.
Ini diikuti Sarawak (512), Kuala Lumpur (477), Johor (407), Kelantan (406), Kedah (244), Pulau Pinang (220), Perak (160), Terengganu (156), Pahang (152), Negeri Sembilan (149), Melaka (127), Sabah (95), Putrajaya (9), Labuan (6) dan Perlis (2).
Noor Hisham berkata, 18 kematian dicatatkan di Selangor, masing-masing lima di Sarawak dan Pulau Pinang, empat di Johor, Kuala Lumpur dan Kelantan, tiga di Perak, dua di Pahang serta satu kematian di Kedah dan Negeri Sembilan.
Semua kecuali satu kematian itu membabitkan warganegara berusia 33 hingga 94 tahun, dengan semua kecuali dua orang mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, buah pinggang kronik dan jantung.
Lapan daripadanya hanya dikesan positif Covid-19 selepas mayat mereka dibawa ke hospital.