PH desak kerajaan laksana ujian saringan Covid-19 besar-besaran

PH desak kerajaan laksana ujian saringan Covid-19 besar-besaran

Mereka turut mendakwa kadar ujian saringan di seluruh negara menurun ketika kes jangkitan melonjak.

Pakatan Harapan berkata pertambahan kes setiap hari membimbangkan apatah lagi program vaksinasi negara sangat lambat.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan menjalankan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran menggunakan kit ujian rapid antigen (RTK-Ag) untuk penyaringan cepat dan melaksanakan penelusuran kontak automatik.

Jawatankuasa imunisasi PH dalam kenyataan berkata, ia susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin serius ketika ini memerlukan kerajaan meningkatkan kadar ujian saringan dan pemberian vaksin.

Mereka turut mendakwa kadar ujian saringan di seluruh negara menurun ketika kes jangkitan melonjak.

“Berdasarkan statistik, terdapat penurunan mendadak dalam ujian saringan di seluruh negara pada hari pertama raya iaitu daripada 87,458 sehari sebelumnya kepada 83,974 orang yang disaring pada 13 Mei dan penurunan selanjutnya kepada 56,440 orang pada hari kedua 14 Mei dan 47,480 pada hari ketiga 15 Mei.

“Kadar positif pada hari pertama adalah 5.78% dan meningkat pada hari kedua kepada 7.32% dan 8.72% pada hari ketiga yang telah melepasi batas cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu pada kadar 5%,” kata jawatankuasa itu yang diketuai bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Jawatankuasa itu berkata, kadar jangkitan yang tinggi ketika ini menandakan Malaysia perlu melipatgandakan ujian saringan Covid-19, supaya penularan dalam komuniti segera dikekang.

“Secara purata, kadar positif Malaysia dari 10 Mei hingga 15 Mei adalah pada 6.83% yang masih lebih tinggi daripada cadangan WHO. Kadar ini jelas menunjukkan kita tidak melakukan ujian saringan mencukupi, yang juga menyiratkan bahawa jumlah harian mungkin tidak jelas menggambarkan beban penyakit sebenar di negara kita.

“Pelaksanaan ini penting terutama dengan 89% kes Covid-19 yang dilaporkan 9 April hingga 8 Mei adalah sporadik. Hampir sembilan daripada 10 kes Covid-19 di Malaysia bulan lalu tidak berkaitan, yang bermaksud bahawa virus itu ada di mana-mana sahaja dalam komuniti dan satu-satunya cara untuk mengesannya adalah dari saringan secara besar-besaran, pengesanan kontak cepat, dan pengasingan kemudian memberikan sokongan diperlukan,” katanya.

Jawatankuasa itu berkata, ujian saringan menggunakan RTK-Ag sebagai pengawasan yang cepat seiring dengan pengesanan kontak automatik, pengasingan cepat dan penyediaan bahan serta sokongan psiko-sosial yang sesuai (FTTIS).

Ini kerana, pertambahan kes setiap hari membimbangkan apatah lagi program vaksinasi negara sangat lambat.

“Faktor ini antara sebabnya pihak kami menyeru kerajaan menjalankan inisiatif penyaringan masyarakat secara besar-besaran dalam daerah berisiko tinggi yang dikenal pasti data yang tepat menggunakan RTK-Ag.

“Pihak kerajaan harus mengadakan program saringan secara besar-besaran atas semua penduduk untuk membolehkan pengesanan awal dan perawatan kes, berbanding dengan pengesanan lewat yang membawa implikasi kepada kapasiti ICU hospital yang hampir penuh dan lonjakan kematian Covid-19,” katanya

Selain Dzulkefly sebagai pengerusi, tujuh lagi jawatankuasa imunisasi PH terdiri daripada Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye, Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Selangor), Dr Norlela Ariffin (Exco Pulau Pinang) dan Veerapan Supramaniam (Exco Negeri Sembilan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.