
LHDN dalam tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi, mendakwa Shafee berhutang dengan kerajaan sejumlah cukai yang belum dibayar selama lima tahun iaitu 2011 (RM434,326.17), 2012 (RM978,854.11), 2013 (RM3.58 juta), 2014 (RM1.73 juta) dan 2016 (RM1.82 juta).
Menurut LHDN, notis penilaian selama lima tahun itu dihantar ke alamat terakhir Shafee yang diketahui di sini pada 31 Mei 2019, tetapi notis itu tidak pernah dikembalikan semula ke pihak lembaga.
Shafee, yang mewakili Najib Razak dalam semua kesnya berkaitan 1MDB, sebelum ini berdepan empat pertuduhan berkait pengubahan wang haram yang melibatkan sejumlah RM9.5 juta, kononnya daripada bekas perdana menteri yang diterima tujuh tahun lalu.
Dua daripada empat pertuduhan dihadapi Shafee berkaitan dengan penyata palsu kepada LHDN pada 2014.
Kes pengubahan wang haram itu ditangguhkan di Mahkamah Tinggi tahun ini.
Najib sebelum ini diperintah membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2017 dan satu notis kebankrapan dikeluarkan terhadapnya kerana gagal membayar jumlah tersebut, selepas LHDN menerima ringkasan penghakiman.
Sejak itu, Najib telah mengemukakan rayuan dan kini sedang menuntut penangguhan terhadap keputusan itu.