Jalan sempit, kerusi terhad, cuaca buruk punca PPV Stadium Titiwangsa sesak

Jalan sempit, kerusi terhad, cuaca buruk punca PPV Stadium Titiwangsa sesak

CITF mohon maaf, akan tambah khemah menunggu dan kerusi secepat mungkin.

Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) berkata, jumlah orang ramai di lokasi itu turut berganda selepas ada segelintir yang mengiring penerima vaksin.
PETALING JAYA:
Laluan kenderaan masuk sempit, bilangan khemah dan kerusi di ruang menunggu yang terhad ditambah pula cuaca buruk menjadi punca kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Titiwangsa di ibu negara, hari ini.

Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) dalam kenyataan berkata, kehadiran 1,600 orang sehari ditambah pula bilangan pengiring, menyebabkan jumlah orang ramai di lokasi itu berganda.

“Keadaan ini semakin buruk apabila hujan dan kenderaan yang menghantar para penerima vaksin berebut menghentikan kenderaan masing-masing berdekatan dengan pintu masuk,” menurut kenyataan CITF.

Sehubungan itu, CITF berkata akan menambah empat unit khemah menunggu dan 500 kerusi secepat mungkin dalam usaha mengatasi kesesakan tersebut.

“CITF memohon maaf kepada semua yang terkesan dengan masalah kesesakan di PPV Stadium Titiwangsa dan akan sentiasa menambah baik perkhidmatan kami dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Terdahulu, penerima vaksin meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial selepas kecewa dengan pelaksanaan suntikan vaksin Covid-19 yang tidak terurus di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Berdasarkan perkongsian di Twitter, keadaan digambarkan agak bercelaru termasuk penerima vaksin tidak tahu di mana untuk beratur disebabkan barisan yang ‘melingkar’ di sekitar stadium itu.

Kejadian di Stadium Titiwangsa itu hanya dua hari selepas proses suntikan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur turut dikritik kerana penyelarasan dan komunikasi lemah ketika 16,200 orang menerima vaksin AstraZeneca.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.