
Beliau berkata, semua maklumat dan perincian daripada tiga keluarga berkenaan sudah direkodkan oleh wakil Sekretariat Peguam Pemuda Umno Johor untuk tindakan susulan.
“Saya difahamkan, daripada 20 individu yang ditahan, 13 orang sudah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala selebihnya tujuh ditahan dan daripada jumlah itu, setakat ini tiga keluarga tampil menggunakan khidmat guaman Pemuda Umno Johor,” katanya kepada FMT.
Hairi berkata, semua keluarga mengucapkan terima kasih atas inisiatif Pemuda Umno Johor membantu mereka mendapatkan khidmat peguam.
“Pada masa sama, saya mewakili Pemuda Umno Johor menasihatkan semua orang muda untuk berfikir sebelum bertindak.
“Pemuda Umno Johor juga ambil maklum mengenai perkembangan kes ini dan ingin mengingatkan semua, setiap keputusan dibuat mahkamah adalah mutlak dan perlu diterima semua pihak dengan hati terbuka serta berlapang dada,” katanya.
FMT sedang mendapatkan polis berhubung perkembangan terkini penahanan 20 individu berkait insiden himpunan itu, yang mana tempoh reman ke atas semua yang ditahan tamat hari ini.
Semalam, Pemuda Umno Johor dilaporkan memberi khidmat guaman percuma kepada sekumpulan pemuda yang ditahan polis kerana menyertai himpunan “kerajaan gagal” di Batu Pahat, baru-baru ini.
Naib Ketuanya, Mohd Fared Khalid, berkata bantuan itu tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi dan ia tidak bermakna mereka menyokong tindakan individu yang ditahan itu.
Khamis lalu, klip video dan gambar himpunan membabitkan pembakaran suar dan kain rentang “kerajaan gagal” di Parit Raja, Batu Pahat, tular di media sosial.
Setakat ini, 20 penduduk tempatan berusia 16 hingga 28 tahun ditahan polis.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 144, 269 dan 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.