ATM perlu 30 doktor, 100 paramedik jika perlu tambah hospital medan, kata Ismail

ATM perlu 30 doktor, 100 paramedik jika perlu tambah hospital medan, kata Ismail

ATM juga bersedia mengambil doktor dan jururawat secara kontrak untuk perkhidmatan di hospital medan yang ingin diwujudkan kelak.

Terbaharu, dua lagi hospital medan yang diwujudkan adalah di Kapit, Sarawak dan di Pulau Pinang selain di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Tawau, Sabah dan Pokok Sena, Kedah, sebelum ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sekurang-kurangnya 30 doktor dan 100 paramedik jika perlu menambah hospital medan bagi mendepani penularan Covid-19.

Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, akan mengusulkan untuk meminta kerajaan menambah tenaga perubatan bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat hari ini kita kekurangan dari segi doktor dan paramedik.

“Kita mungkin akan memohon kerajaan tambah lebih banyak doktor dan paramedik sebab yang ada kita mampu untuk keperluan kita sahaja tapi untuk kita tambah lebih banyak lagi hospital medan, kita takut kita kekurangan di hospital milik tentera sendiri,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, Ismail hadir di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk mendengar taklimat kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan Angkatan Tentera Malaysia bagi menangani ancaman wabak Covid-19.

Beliau berkata, pihak ATM juga bersedia mengambil doktor dan jururawat secara kontrak untuk perkhidmatan di hospital medan yang ingin diwujudkan kelak.

“Kalau nak tambah Hospital Medan kena tambah cepat. Kita bersedia ambil mereka secara kontrak yang penting disegerakan,” katanya.

Untuk rekod, hospital medan ditubuhkan bagi merawat pesakit bukan Covid-19.

Terbaharu, dua lagi hospital medan yang diwujudkan adalah di Kapit, Sarawak dan di Pulau Pinang selain di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Tawau, Sabah dan Pokok Sena, Kedah, sebelum ini.

Hospital medan di Pulau Pinang adalah khusus untuk unit rawatan rapi (ICU) bagi menampung peningkatan kes kritikal yang semakin mendadak di negeri itu.

Kesesakan di Tol Gombak tidak sepatutnya berlaku

Sementara itu, mengulas kesesakan di Plaza Tol Gombak dari arah Bentong menuju ke ibu negara sejak semalam, Ismail berkata ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan sebelum ini arahan rentas negeri tidak dibenarkan ketika musim perayaan.

“Kalau benar, sepatutnya ia tidak berlaku, sebab kita sekat rentas negeri dan daerah. Saya tidak boleh komen sebab tidak tahu sejauh mana kebenaran, baik tanya polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.