
Dalam kenyataan, DBKL menyenaraikan 25 batang pokok berisiko antaranya di sekitar Jalan Ampang, Bukit Bintang, Raja Chulan, Tun Razak, Raja, Pinang, Kinabalu dan Jalan Port Dickson.
Antara jenis pokok berisiko itu, samanea saman (hujan-hujan), ficus benjamina (ara), ficus callosal (ara), peltophorum pterocarpum (jemerlang) dan pterocarpus indicus (angsana) di mana kebanyakannya sudah reput pangkal akar, reput dahan, batang utama reput serta kecacatan pada batang utama.
“Kerja-kerja ini akan bermula pada Jun dan dijangka selesai pada Julai 2021. Dalam tempoh kerja dilaksanakan, orang awam dinasihatkan berhati-hati jika melewati kawasan kerja,” katanya.
Katanya, pokok yang ditebang akan diganti dengan pokok lain bergantung kepada keluasan ruang penanaman.
“Jika keluasan ruang penanaman tidak sesuai untuk ditanam pokok, ia akan diganti dengan tumbuhan renek.
“Perancangan penanaman semula pokok di pusat bandar Kuala Lumpur dibuat berdasarkan garis panduan pelan pengurusan pokok rendang Kuala Lumpur yang diterbitkan pada Jan 2019,” katanya.