
Pasar Jelutong dan 186 gerai di luarnya diarahkan ditutup selama 10 hari selepas empat peniaga disahkan positif.
Sementara itu, bahagian makanan dan daging babi di Pasar Bagan Ajam turut diarahkan ditutup selama 10 hari selepas lapan kes positif dikesan, berkaitan dengan kluster Jalan Terbilang.
Dua pasar itu mempunyai bilangan pengunjung tinggi, malah Pasar Jelutong menerima sekurang-kurangnya 1,000 pelanggan setiap hari kata seorang Ahli Dewan Undangan Negeri.
Pasar Bagan Ajam pula adalah pasar basah terbesar di Butterworth dan dikunjungi sekurang-kurangnya 800 orang setiap hari.

Datuk Bandar Pulau Pinang (MBPP) Yew Tung Seang berkata, Pasar Jelutong mempunyai 60 gerai dan 186 gerai sementara di luarnya, di Jalan Penaga serta Lorong Ipoh. Beliau memberitahu sidang media hari ini, kerja sanitasi akan dijalankan di situ.
Pada masa sama, Datuk Bandar Seberang Perai Rozali Mohamud berkata bahagian makanan dan daging babi di Pasar Bagan Ajam akan ditutup 10 hari susulan lapan kes positif Covid-19 dikesan di situ.
Katanya, 17 peniaga yang diarahkan melakukan ujian calitan oleh pihak berkuasa kesihatan masih belum berbuat demikian.

Rozali menggesa peniaga terlibat menghubungi pejabat kesihatan di 04-5751833 sebelum 6 petang hari ini untuk membuat janji temu atau menyerahkan ujian Covid sekiranya telah dibuat di kemudahan swasta.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata, Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang bersedia memberikan suntikan vaksin Covid-19 sebagai sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan.