
Mereka mendakwa pegawai yang mengatur penerbangan sewa yang dinaiki dari India memaklumkan mereka hanya perlu dikuarantin 14 hari.
Ketua Pengarah Kesihatan mengumumkan tempoh kuarantin wajib bagi mereka yang pulang dari India dilanjutkan daripada 14 hari kepada 21 hari bermula Jumaat lalu, tetapi pasangan berkenaan dikenakan peraturan baharu itu awal sehari.
Stephanie Robin, 35, berkata beliau dan suaminya hanya bersedia dari segi kewangan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.
“Saya tidak bersedia untuk membayar lebih kerana kami sudah membayar hampir RM5,000 bagi penerbangan Malindo Air OD224, dari Trichy ke KLIA, pada 9 malam Khamis,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, mereka tiada pilihan kecuali membayar RM5,750, yang termasuk RM2,600 “yuran pengurusan warga asing”, selain kos kuarantin 21 hari pada kadar RM150 semalam.
“Bagaimanapun, pegawai kesihatan bertegas meminta kami membayar sekaligus dalam bentuk tunai atau kad. Tetapi saya hanya ada wang yang terhad, dengan RM4,500 dalam akaun bank.
“Lebih malang lagi, had transaksi kad debit kami cuma RM3,000,” kata wanita dari Klang itu sambil menambah bapanya berjanji akan menghantar wang tunai tambahan keesokannya, tetapi pegawai yang bertugas enggan menunggu.
“Pegawai-pegawai itu memberitahu kami, kalau kami tidak boleh bayar, kami akan dihantar ke Jabatan Imigresen untuk diusir.
“Saya rakyat Malaysia, tetapi dilayan seperti warga asing,” keluh beliau.
Empat jam kemudian, Stephanie bernasib baik kerana berjumpa seorang individu tidak dikenali yang sama-sama menaiki penerbangan dari India, di terminal lapangan terbang.
Individu berkenaan menawarkan diri untuk membantu Stephanie membayar baki RM2,750, selepas beliau menggunakan kad debitnya untuk membayar RM3,000.
“Kali ini, pegawai-pegawai itu menerima bayaran dalam bentuk tunai dan kad debit.”
Beliau berkata, jika terdapat perubahan dalam dasar, pegawai yang menyelaras perjalanan pulang ke Malaysia sepatutnya memaklumkan lebih awal dan mereka boleh mendapatkan penerbangan pulang minggu lalu.
Katanya, beliau dan suami ke India untuk menguruskan hal tanah suaminya Mac lalu. Mereka bersedia pulang ke Malaysia bulan lalu, namun hanya dapat menempah penerbangan minggu lalu.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, yang dimaklumkan mengenai situasi Stephanie dan suaminya, berkata beliau akan berhubung dengan Ketua Pengarah Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai arahan kuarantin 21 hari yang dikenakan terhadap pasangan itu dan memaksa mereka membayarnya secara tiba-tiba.
Katanya, pegawai yang bertugas tidak sepatutnya mengugut untuk mengusir pasangan itu, yang salah seorangnya rakyat Malaysia, dan mereka perlu dikenakan tindakan berat.
FMT telah menghubungi Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan komen.