Benarkan ujian Covid air liur, P.Pinang gesa Putrajaya

Benarkan ujian Covid air liur, P.Pinang gesa Putrajaya

Usaha itu wajar diluluskan kerana ia turut dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yew berkata, beliau menulis surat kepada KKM berhubung cadangan kerjasama dengan FMM Pulau Pinang untuk menjalankan saringan massa dalam kalangan pekerja sektor perkilangan.
PETALING JAYA:
Kerajaan pusat digesa meluluskan segera inisiatif kerajaan Pulau Pinang untuk melaksanakan ujian RT-PCR menggunakan sampel air liur untuk pekerja sektor perkilangan di negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, usahasama kerajaan negeri dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) di negeri itu wajar diluluskan kerana ia turut dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini.

“FMM telah mengemukakan ‘proposal’ berkenaan kepada KKM pada 7 Mei 2021.

“Serentak itu, kerajaan persekutuan juga wajar meneliti semula beberapa ‘proposal’ serta surat yang diusulkan oleh kerajaan negeri sejak awal tahun ini yang bukan hanya memberi penekanan terhadap pendekatan saringan massa, malah juga vaksinasi hasil usahasama dengan pihak swasta,” katanya dalam satu kenyataan.

Chow juga berkata, pada 15 Jan lalu, beliau mengutus surat kepada KKM berhubung cadangan kerjasama bersama-sama FMM Pulau Pinang untuk menjalankan saringan massa dalam kalangan pekerja sektor perkilangan.

Katanya, ini disusuli dengan surat berhubung kira-kira 100 klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) yang bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada penduduk di negeri ini.

“Sebagai tambahan, juga surat berhubung tajaan vaksin oleh pihak swasta khas kepada rakyat Pulau Pinang yang mana kerajaan negeri masih mengharapkan ‘lampu hijau’ daripada kementerian berkaitan.

“Sebagaimana saya tekankan sejak awal berhubung pendekatan 3T, iaitu ‘mass testing’ (saringan massa), ‘tracing’ (pengesanan kontak) dan ‘treatment’, iaitu rawatan, formula ini tidak pernah memperlihatkan kelemahannya dalam usaha memastikan rakyat Pulau Pinang terus dilindungi sepenuhnya,” katanya.

Chow juga berkata, data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menunjukkan sebanyak 57,666 saringan Covid-19 telah dilaksanakan terhadap kontak dikenal pasti di negeri ini bagi tempoh 25 Apr hingga 8 Mei lalu.

Katanya, bagi tempoh bermula pada 25 Apr hingga 1 Mei, daripada 30,690 saringan yang dijalankan, sebanyak 994 adalah positif, iaitu pada kadar positiviti 3.24%.

“Manakala bagi tempoh 2 Mei hingga 8 Mei 2021, bilangan kes positif adalah 1,682 daripada jumlah saringan sebanyak 26,976 dengan kadar positiviti 6.24%.

“Berdasarkan trend laporan kes yang dicatatkan di Pulau Pinang kini, adalah wajar supaya penyumberan sumber manusia daripada sektor swasta atau lain-lain lapangan berkaitan dipergiatkan, terutamanya dalam mempercepatkan pengesanan kontak serta kes di lapangan,” katanya.

Chow berkata, selain segera mengasingkan pesakit positif Covid-19, JKNPP perlu mengambil tindakan drastik terhadap aspek dinyatakan dengan memberi latihan perlu kepada mereka yang terpilih supaya keupayaan fasiliti perubatan sedia ada kini tidak lumpuh sepenuhnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.